Rencana

ANAK MAMI DI PERANTAUAN – Ayuhai UMNO. Lain diminta, lain diberi

anakmamidiperantauanMACAM monyet. Monyet, kalau kita cakap pada dia, ‘Tolong pergi kedai, beli gula sekati’ dia tak akan faham. Nama pun monyet. Silap-silap dia sua pisang. Dia mana reti.

Tak macam beruk. Beruk yang tugasnya panjat pokok kelapa, perlu dilatih supaya faham dan dengar kata; walaupun bahasanya sedikit berbeza. Perlu tunjuk secara spesifik, buah kelapa mana yang perlu dipulas. Beruk semacam ini cerdik sedikit berbanding monyet tadi.

Tapi manusia yang lain disuruh, lain dibuat; lebih tak berguna daripada monyet. Sebab manusia ada akal dan hati nurani. Lainlah kalau manusia itu sebenarnya monyet bertopengkan manusia. Atau barangkali lembu.

Perlambangan sebegini memang kasar sekali. Ya, saya tahu. Tetapi seperti yang saya selalu kata; orang bodoh tak akan tahu bodohnya, kecuali kalau diberitahu. Monyet sudah pasti sedar dia monyet. Tapi manusia yang bodoh macam monyet, lembu ini semua tak boleh tidak, mesti dikhabarkan akan kebodohannya itu; semoga tidak berjangkit.

United Malays National Organisation sebenarnya bukanlah parti politik yang semacam monyet. Tidak pula parti itu dipenuhi lembu. Tetapi acapkali ia bertindak tanpa menghiraukan nasihat umum. Bahkan selalunya ia berbuat sesuatu yang berbeza dengan yang dipohonkan rakyat jelata.

Kita pastinya masih ingat sewaktu musim pilihan raya lalu, bagaimana pemandu teksi memohon permit sendiri; tapi dibaginya tayar. Ini contoh tahun sudah. Sudah ada contoh baru.

Rakyat tuntut supaya perjanjian IPP (Independent Power Producer, atau Pengeluar Tenaga Bebas) disemak semula supaya tarif elektrik bukan sahaja tidak mencanak naik tiba-tiba malah boleh diturunkan dengan harapan pengilang tidak mengenakan kenaikan kepada barang keperluan kerana tarif elektrik yang melambung.

Apa menteri UMNO buat?

Dia umum potongan 5% kos utiliti elektrik di semua pejabat kerajaan. Saya tak tahu bagaimana ini boleh membantu. Saya tambah tidak tahu bagaimana kerajaan boleh pastikan potongan itu berlaku.

Rakyat juga menuntut supaya perjanjian konsesi tol disemak semula, atau terus diambil alih kerajaan supaya kadar tol tidak terus meningkat seperti yang bakal berlaku. Sudah berapa puluh tahun pengusaha jalan bertol kaut untung. Bukan orang lain pun, kroni pemerintah juga. Tapi yang dituntut ini tak dibuat.
Apa yang dia buat?

Dia umum potongan 30% kemudahan tol bagi pegawai tinggi kerajaan. Tol tetap kena bayar. Malah pegawai tinggi kerajaan ini harus bayar tol daripada poket mereka sendiri. Tapi tak perlu risau, nanti boleh ‘claim’.

Kita tuntut pula dikembalikan subsidi gula yang kerajaan tarik balik (kononnya tak naik harga) di saat rakyat membeli gula pada harga jauh lebih tinggi berbanding harga pasaran dunia. Dia suruh kita kurangkan gula takut nafsu di ranjang lemah.

Yang kita tuntut dia tak bagi, tapi dia umum potong elaun keraian dan harus terbang guna tiket kelas ekonomi. Berapa banyak dia potong elaun ini? 5 hingga 10% sahaja, tak banyak. Dengan memotong elaun ini, adakah kos sara hidup rakyat akan berkurang?

Bukan kita salahkan langkah kerajaan mahu berjimat, kita alu-alukan. Tapi bersungguh lah mengubati sakit rakyat. Bukan sekadar buat penjimatan runcit dan tidak beri faedah kepada rakyat terbanyak; jangan sekadar dirawat gejala kecilnya sahaja tetapi penyakit yang begitu membarah, termasuk korupsi, ketirisan dan pembaziran besar-besaran tidak dibendung.

Lihat sahaja bagaimana nanti rakyat akan terus bertanya setiap kali pemerintah buat keputusan kurang cerdik, contohnya berbelanja RM15 juta untuk sambutan tahun baru, tetapi sekadar menyumbang RM4.3 juta untuk mangsa banjir baru-baru ini. Macam mana rakyat tak marah?

Macam mana rakyat tak berdemonstrasi, lain diminta lain diberi. Macam monyet. – Roketkini.com