Berita

Langkah penjimatan tidak sentuh masalah sebenar – Steven Sim

KUALA LUMPUR, 31 DISEMBER: Langkah penjimatan yang diumum kerajaan semalam bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam hanya bersifat luaran dan tidak menyentuh permasalahan sebenar.

Pengarah Biro Pendidikan Politik Pemuda DAP, Steven Sim Chee Keong berkata, untuk mengatasi masalah kewangan negara, reformasi menyeluruh diperlukan terhadap penyebab masalah pada mulanya, iaitu cara pentadbiran BN.

“Masalah bermula daripada tiga dekad urus tadbir yang gagal, maka apa sahaja pemulihan perlu bermula dengannya – dari dalam kerajaan sendiri.

“Pada akhirnya, ia berkenaan keperluan reformasi ke atas institusi, terutama untuk memperbaiki penyampaian perkhidmatan, menutup ketirisan dan mengekang rasuah,” katanya dalam rencana yang disiar dalam The Malaysian Insider.

Beliau menyifatkan dasar ekonomi kerajaan selama ini yang mengutamakan projek mega serta meninggikan jurang kaya-miskin, serta pemberian subsidi untuk mengurangkan kemarahan rakyat, sebagai punca sebenar masalah hari ini.

Beberapa bulan selepas PRU-13, kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol dan gula, serta tarif elektrik dan kadar tol yang berkuatkuasa tahun depan, juga sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), bermula 1 April 2015.

Berikutan bantahan meluas rakyat, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan 11 langkah penjimatan sektor awam, antaranya pemotongan 10 peratus elaun keraian bagi menteri dan timbalan menteri.

Langkah lain seperti pembekuan permohonan ubah suai pejabat kementerian dan pengurangan RM50-RM100 elaun tol pegawai kanan kerajaan.

“Kenapa potong RM50 elaun tol, pada masa sama berbilion ringgit dibazirkan melalui sistem kontrak kerajaan yang tidak telus?

“Penurunan kelas kapal terbang untuk penjawat awam mungkin bagus, tetapi bagaimana dengan menteri dan pasangannya keliling dunia guna ratusan juta wang pembayar cukai?” kata Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu.

Untuk mengatasi masalah kewangan negara, katanya lagi, Umno sebagai parti pemerintah perlu menamatkan budaya ketirisan dan rasuah, sebelum menghentikan kebergantungan rakyat kepada subsidi yang dipupuk sekian lama.
“Benar, penjimatan bukan lagi (sekadar) pilihan untuk Najib. Tapi beliau silap kerana mulakannya ke atas rakyat Malaysia yang sedia terhimpit, bukan terhadap kerajaan dan partinya yang bermewah – punca masalah yang kita hadapi hari ini,” katanya lagi.