Rencana

Ucapan menjelang tahun baru: Sebuah satira politik – Muhammad Nazreen

Saudara-saudari yang dimuliakan,
Salam sejahtera. Syukur ke hadrat Illahi kita dipanjangkan umur dan diberikan kesihatan untuk meneruskan kehidupan menjelang 2014.

Saudara dan saudari sekalian,
Beberapa detik sahaja lagi kita meninggalkan 2013 yang cukup bermakna. Sekali lagi kerajaan di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) diberikan mandat sebanyak 47% sekaligus memerintah Malaysia pada PRU ke 13 lalu. Kemenangan besar ini merupakan hadiah yang sangat bermakna buat seluruh rakyat Malaysia. Sekali lagi kemenangan berpihak kepada orang Melayu yang benar-benar Melayu seperti pemimpin BN ketika ini.

Jasa kerajaan selama ini membolehkan rakyat Malaysia bergembira dengan pembelian kelab bolasepak ternama Inggeris iaitu Cardiff City yang kini dimiliki warga Malaysia.

Sesungguhnya, hasil titik peluh kerajaan selama lebih 60 tahun membuahkan hasil. Kini, golongan Bumiputera mampu memiliki kondominium mewah berharga RM110 juta di kota New York.

Jika 60 tahun lalu, golongan Bumiputera pasti tidak berani bermimpi untuk melihat bagaimana golongan Bumiputera dapat memiliki ‘rumah tidak mampu milik’ di tengah-tengah kota metropolitan New York.

Menjelang 2014, kerajaan sedaya-upaya untuk memastikan rakyat Malaysia benar-benar menguasai ekonomi global. Kini, harga barangan dan keperluan harian kita hampir setanding dengan negara maju. Kerajaan juga akan memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan atau GST untuk menunjukkan betapa Malaysia mampu untuk setaraf dengan negara maju seperti Singapura, Denmark dan Australia yang memperkenalkan sistem percukaian ini terlebih dahulu.

Kita mengharapkan supaya rakyat Malaysia dapat bersyukur atas usaha murni kerajaan dalam memastikan Malaysia mampu untuk menyaingi ekonomi negara maju lain.

Malahan, kerajaan juga akan menaikkan harga tol dan tarif elektrik. Sesungguhnya, harga tol dan tarif elektrik di negara kita terlalu rendah. Maka, kerajaan akan menaikkan tol dan tarif elektrik untuk memastikan warganegara asing kagum dengan kadar tol dan tarif elektrik kelak.

Warga asing akan merasakan bahawa kerajaan Malaysia berupaya untuk membangunankan negara terutamanya di dalam membangunkan harga tol dan tarif elektrik.

Kerajaan meyakini bahawa negara serantau seperti Singapura dan Indonesia pasti akan mencemburui kejayaan negara kita di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang sentiasa menerima sokongan padu isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Saudara dan saudari sekalian,
Sesungguhnya, pihak pembangkang mempunyai agenda untuk merosakkan Malaysia. Pihak pembangkang adalah agen kuasa asing seperti Zionis dan Amerika.

Oleh kerana itu, mereka berkomplot untuk menurunkan kos hidup rakyat jelata. Konspirasi ini bertujuan merendahkan kemampuan Malaysia di mata dunia.

Apabila Malaysia dipandang rendah, maka pengaruh Zionis dan Amerika secara halus meresapi pemikiran rakyat jelata, lantas menghasut mereka untuk menyertai himpunan membantah kenaikan kos hidup.

Himpunan ini bakal mencetuskan huru hara di kotaraya sehingga menyebabkan peniaga goreng pisang di Jalan Tunku Abdul Rahman mengalami kerugian sebanyak RM2 juta. Selain memusnahkan ekonomi peniaga goreng pisang, himpunan ini turut mengakibatkan kesesakan lalulintas di sepanjang tol Juru di Pulau Pinang sehingga tol Jalan Duta di Kuala Lumpur.

Pihak pembangkang bertindak keterlaluan apabila mempertikai ‘blueprint’ pendidikan negara yang dirangka oleh firma perunding antarabangsa, Mckinsey Group dengan bayaran berjumlah RM20 juta.

Sesungguhnya, pembangkang mencemburui langkah kerajaan mengupah firma perunding ini dengan mengatakan bayaran itu terlalu mahal. Bayaran mahal kepada firma Mckinsey ini bertujuan supaya kuasa asing tidak akan mempertikai kekayaan negara. Oleh kerana itu, Malaysia pasti akan dipandang tinggi serata dunia kerana mendanai projek pendidikan semahal itu.

Bukankah kita memerlukan dasar pendidikan setanding dengan piawaian antarabangsa? Pihak pembangkang tidak mengerti bahawa peruntukan besar untuk sektor pendidikan di dalam belanjawan 2014, sebenarnya membolehkan kita mengupah firma perunding seperti Mckinsey dengan bayaran RM20 juta walaupun kita mempunyai Kementerian Pendidikan dengan sejumlah kakitangan penjawat awam yang besar.

Golongan yang tidak mensyukuri nikmat adalah golongan yang dimurkai tuhan. Golongan ini selayaknya meninggalkan Malaysia sekiranya mereka tidak suka dengan keadaan di Malaysia. Jika mereka tidak suka dengan sistem percukaian GST, maka mereka boleh berhijrah ke negara yang tidak mengamalkan GST. Jika mereka mempertikaikan perbelanjaan kerajaan, maka, mereka boleh berpindah ke permukaan lautan yang tidak dikuasai mana-mana kerajaan. Sesungguhnya, tuhan sangat murka dengan golongan yang tidak pernah mensyukuri nikmat yang dikurniakan kepada mereka. Maka, golongan seperti ini harus dipulaukan daripada sebarang manfaat.

Saudara dan saudari sekalian,
Kerajaan mendengar teliti setiap permintaan rakyat jelata terutamanya golongan muda. Golongan muda adalah bakal pemimpin di masa hadapan. Selayaknya mereka diberikan perhatian khusus. Soal beban hidup yang tinggi ditanggung oleh golongan muda di negara ini adalah ujian yang sengaja dirangka kerajaan agar mereka lebih kuat berusaha untuk membaiki taraf hidup mereka.

Kerajaan juga tidak akan menawarkan sebarang kenaikan gaji buat sementara waktu supaya golongan muda, terutamanya mereka yang baru sahaja mendirikan rumah tangga belajar memahami asam garam kehidupan.

Ini selaras dengan peribahasa Melayu yang berbunyi, “Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian.” Golongan muda wajar mendalami falsafah hidup ini. Maka, kerajaan akan sedaya upaya menyukarkan golongan muda untuk menikmati hidup yang bahagia semasa mereka muda.

Sesungguhnya, kita perlu mensyukuri nikmat yang diusahakan kerajaan kita pada hari ini.Golongan ilmuan seperti Ustaz Fathul Bari sudah memberi peringatan yang tegas bahawa kenaikan harga barang adalah kehendak tuhan. Usah kita menurut cemuhan pembangkang akan langkah yang diambil kerajaan dalam menangani masalah rakyat jelata. Kita selaku rakyat wajar memikirkan kembali sumbangan kita terhadap negara ini.

Kita harus menjadikan aktiviti menabung untuk membeli beg tangan berjenama seperti Birkin sebagai sumber inspirasi menjelang 2014. Sekiranya kita (rakyat Malaysia) benar-benar mendalami hakikat mereka yang menabung, Malaysia pasti akan menjadi contoh negara yang sedang membangun seperti Bangladesh dan Zimbabwe di dalam menaiktaraf keadaan ekonomi mereka kelak.

Saya sekali lagi mengingatkan rakyat Malaysia supaya mensyukuri nikmat yang dikurniakan ke atas mereka.

Sekian, terima kasih.