Berita

DAP sokong Protes Pensel Merah, seru solidariti demi kebebasan media

KUALA LUMPUR, 2 JANUARI: Pemuda DAP Kebangsaan hari ini menyatakan sokongan kepada Protes Pensel Merah oleh kumpulan Gerakan Media Marah (GERAMM), di hadapan bangunan Majlis Peguam, Sabtu ini.

Ketua Pemuda DAP Kebangsaan, Teo Kok Seong berkata, sokongan ini selaras dengan prinsip semangat setiakawan yang menjadi asas demokrasi berparlimen.

“Hak memprotes ini telah dijamin perlembagaan negara, mana-mana kumpulan berhak untuk menyatakan bantahan sesuai menurut undang-undang yang diperuntukan.

“Kami dengan tegas menolak campur tangan kerajaan menerusi agensi tertentu dengan niat mahu menyekat kebebasan media yang gigih melapor isu melibatkan kepentingan awam,” katanya dalam kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen DAP Rasah turut menggesa pihak berkuasa menjalankan kewajipan dengan rasional dan profesional terhadap tindakan menggantung akhbar The Heat, baru-baru ini.

“Pihak berkuasa perlu menjalankan tugas sewajarnya tanpa membiarkan agensi mereka diperalat pihak tertentu atas niat politik sempit.

“Kita juga berharap, isu-isu yang melibatkan tahap keselamatan para wartawan ketika membuat liputan di sebarang demonstrasi aman diberi perhatian sebetulnya oleh pihak berkuasa,” tegasnya.

Katanya lagi, usaha GERAMM yang menjayakan protes secara matang dengan penganjuran forum dan protes secara terbuka harus diberi pujian.

Beliau turut memohon semua pengamal media agar turut sama bersolidariti dengan turun menyertai himpunan.

“Kami menyeru rakan-rakan media yang lain, baik media alternatif mahupun arus perdana untuk turut sama menyatakan sokongan kepada GERAMM,” ujarnya. – Roketkini.com