Berita

Kereta milik Kerajaan Negeri, bukan saya punya – Guan Eng

GEORGE TOWN, 2 JAN – Cemuhan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung pembelian kereta Mercedes baru berpunca daripada kurang faham isu sebenar.

Penjelasan Guan Eng kepada Roketkini sedikit sebanyak memberikan sedikit rasa lega dan memperlihatkan ketelusan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

Dalam temu ramah eksklusif bersama beliau yang juga Setiausaha Agung DAP, Guan Eng memberitahu bahawa jelas sekali kereta tersebut bukanlah miliknya tetapi milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Menyifatkan penggunaan kereta tersebut sebagai sekadar sementara, beliau menambah bahawa kereta tersebut juga tidak akan dibeli sebagai faedah tambahan dengan harga diskaun apabila beliau tidak lagi menjadi Ketua Menteri.

“(Barisan) EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang membuat keputusan sebulat suara untuk membeli Mercedes Benz S300L tersebut atas dua sebab, pertamanya kerana nilai untuk wang memandangkan ia dibeli dengan harga RM298 ribu berbanding harga asal RM676 ribu,”

“Kedua ialah kos penyelenggaraan jangka panjang. Anda pasti terkejut dengan perbandingan kos penyelenggaraan untuk kereta Perdana adalah lebih tinggi berbanding kereta Mercedes dalam jangka panjang,” ujar beliau.

Menurut beliau lagi, penjual kereta tersebut juga turut mematuhi kesemua syarat, termasuklah jaminan untuk mengambil semula kereta tersebut dengan kos ditanggung oleh mereka sendiri sekiranya pengecualian cukai tidak diberikan.

“Di bawah peraturan semasa, anda perlu membeli kereta tersebut terlebih dahulu kemudian baru lah memohon untuk dikecualikan cukai. Jika pengecualian tidak diberikan, maka mesti bayar cukai kepada kerajaan dan ambil kereta tersebut sebagai milikan sendiri,” jelas beliau.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan turut prihatin dengan kerisauan penyokong akar umbi yang sentiasa mahu pimpinan Pakatan Rakyat dilihat bersih dari sebarang cacat cela.

“Kereta ini bukan milik saya, ia milik Kerajaan Negeri,” kata beliau.

“Pastilah para penyokong mahu kita menjadi ‘lebih putih dari putih’ dan saya memahami perkara itu. Namun barisan EXCO berpendapat bahawa Kerajaan Negeri tidak wajar menolak tawaran sedemikian dengan pengecualian cukai penuh beserta diskaun yang tidak pernah diberikan sebelum ini kepada mana-mana negeri,” tambah beliau lagi sambil menambah bahawa beliau harus berpegang kepada keputusan sebulat suara barisan EXCO.

Sekitar Julai 2008, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said mempertahankan pembelian 14 buah kereta Mercedes E200 Kompressor sebagai kenderaan rasmi anggota EXCO dan pegawai kanan kerajaan negeri.

Beliau dilaporkan berkata bahawa keputusan pembelian kenderaan berjumlah RM3.43juta itu dibuat berikutan kos penyelenggaraan Proton Perdana V6 Executive yang digunakan oleh EXCO dan pegawai kanan kerajaan negeri sebelum ini terlalu tinggi.

Pembelian kesemua 14 buah Mercedes tersebut adalah pada harga penuh, tanpa sebarang diskaun. – Roketkini.com