Rencana

Perutusan Tahun Baru 2014 DAP

Perutusan Tahun Baru DAP 2014 oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di Kuala Lumpur, pada 1 Januari 2014.

DAP mengucapkan penghargaan kepada wira sebenar Malaysia, jutaan rakyat biasa yang mengundi untuk perubahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, terutama 51 peratus yang menyokong Pakatan Rakyat, dan memberikan BN kekalahan undi popular pertama kali dalam sejarah. Dengan berani mengundi untuk UBAH, majoriti rakyat bukan sekadar menunjukkan kecekalan, malah wawasan bahawa hanya pertukaran kerajaan dapat meningkatkan taraf hidup, melahirkan masyarakat berdaya dan pembangunan mapan.

Pandangan jauh 51 peratus pengundi yang menolak BN telah dibuktikan dengan siri kenaikan harga gula, petrol, tarif elektrik dan tol lebuh raya selepas BN mengekalkan kuasa. Malah sebahagian 47 peratus yang menyokong BN pada PRU lalu sudah mula menyesali pilihan mereka, dan kini berkongsi keinginan sama untuk UBAH.

Semua kenaikan ini dapat dielakkan, ditangguh atau juga dikurangkan jika kerajaan BN fokus dalam melawan rasuah. BN telah hilang saki-baki kredibiliti mereka dengan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan sebaik sahaja selepas PRU. Tidak seperti BN, kerajaan PR di Pulau Pinang tidakkan menaikkan mana-mana harga, sebaliknya mampu menangguhkannya dengan melawan rasuah.

Dengan melaksanakan tender terbuka, pengisytiharan harta, mendedahkan kontrak kerajaan dengan sektor swasta kepada umum dan tata kelola yang baik, Pulau Pinang mencatatkan lebihan belanjawan tahunan dan mengurangkan hutang negeri sebanyak 95 peratus. Pulau Pinang bangga menjadi satu-satunya kerajaan negeri yang tidak menaikkan apa-apa kadar bagi perkhidmatan tempatan, sama ada cukai tanah, kadar taksiran mahu pun lesen niaga.

Kerajaan Persekutuan dapat menangguhkan kenaikan harga andai mereka mencontohi Pulau Pinang, terutama dalam melawan rasuah. Walaupun dengan pelantikan bekas Presiden Transparency International Malaysia sebagai menteri, bukan sahaja tiada pengisytiharan harta, malah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak berani menggunakan kuasanya di bawah Seksyen 29(3) dan 36(1) Akta SPRM untuk menuntut anak tiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melakukannya.

Setakat ini, tiada sebarang jawapan berhubung persoalan sumber kekayaan anak tiri Najib yang berusia 36 tahun itu, yang membolehkan pembelian kondominium mewah bernilai RM110 juta di New York. Bukan sahaja tidak menuntut pengisytiharan penuh harta anak tiri Najib, SPRM juga cuba melepaskan diri daripada tanggungjawab dengan meminta kuasa tambahan baru untuk berbuat demikian. SPRM mendakwa Akta SPRM 2009 patut dipinda agar diberi kuasa tambahan termasuk untuk menyiasat pemilikan harta yang tidak sepadan dengan pemiliknya, walau pun Seksyen 29(3) dan 36(1) dalam akta sedia ada memberi kuasa kepadanya untuk berbuat demikian.

DAP bersedia menyokong seruan SPRM untuk diberi kuasa tambahan, namun itu adalah tindakan yang sia-sia apabila SPRM tidak berani menguatkuasakannya. Penafian tugas oleh SPRM ini bukan sekadar pelanggaran tugas berkanun untuk melawan rasuah, malah juga satu simbol betapa sebatinya budaya rasuah di Malaysia, sehingga sebuah badan anti-rasuah yang sepatutnya tegas, berusaha sedaya-upaya untuk tidak menyiasat.

Satu-satunya penyelesaian yang ditawarkan BN adalah mengalihkan perhatian dengan memainkan api kebencian kaum dan ekstrimisme agama, khususnya mencipta ketakutan terhadap orang bukan Melayu dan bukan Islam. Untuk mengelakkan diri daripada jatuh ke dalam perangkap perkauman dan agama yang dicipta oleh Umno dan Perkasa, rakyat perlu mencari wira baru bagi membolehkan mereka menghadapi cabaran besar kenaikan harga pada 2014.

Tiada wira melainkan rakyat sendiri. Perlembagaan Kemerdekaan 1957 dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia 1963 boleh menjadi model kepada 28 juta rakyat Malaysia untuk bersatu sebagai wira dalam melawan rasuah, memastikan kemakmuran ekonomi kepada semua dan menongkah masa depan demi anak-anak kita.

Lim Guan Eng