Berita

DAP sifatkan ‘simpati’ Najib tiada makna, hentikan monopoli

KUALA LUMPUR, 2 JANUARI: Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee menyifatkan simpati Perdana Menteri sebagai tidak bermakna ekoran tiada langkah substantif daripada kerajaan untuk menurunkan kos sara hidup rakyat.

Beliau mengulas Ucapan Tahun Baru Datuk Seri Abdul Najib Razak, yang menyatakan beliau “faham dan bersimpati dengan kebimbangan ini (kos sara hidup).

Tony berkata, ucapan itu jelas tidak ikhlas, semata-mata untuk menenangkan kemarahan rakyat, sehingga menyebabkan himpunan TURUN malam tahun baru dua hari lalu.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu turut menggariskan beberapa cadangan, termasuk mengkaji semula perjanjian konsesi tol, menghentikan monopoli syarikat gula dan menghalang kenaikan tarif elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Sebagai contoh, Litrak yang memiliki Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dibina dengan kos RM1.3 juta, tapi dapat keuntungan (tahunan) sebanyak RM282 juta. Kenapa kerajaan benarkan syarikat konsesi terus untung besar setiap tahun sehingga 2029?” katanya.

Pua turut menempelak kerajaan yang akur dengan TNB untuk menaikkan kadar tarif elektrik, walaupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu mengaut keuntungan tahunan sebelum cukai RM5.9 bilion tahun lalu.

Beliau juga mempersoalkan tindakan kerajaan yang membenarkan monopoli bagi barangan keperluan seperti gula, beras dan petrol, yang menyebabkan harga tinggi ekoran tiada persaingan.

“Mengapa Bernas dibenarkan monopoli industri beras? Begitu juga dengan hanya dua syarikat yang dibenarkan untuk mengimport, memproses dan menjual gula – di saat kerajaan tidak lagi mengsubsidinya?

“Mengapa syarikat petrol tidak dibenarkan jual petrol dengan harga lebih rendah daripada yang ditetapkan kerajaan, walau pun satu daripada lima syarikat yang bersaing sanggup berbuat demikian?” katanya lagi.

Katanya lagi, itulah ‘langkah-langkah sukar’ yang patut diambil Najib, bukan dengan meletakkan beban terus kepada rakyat.

“Jika beliau tetap utamakan keuntungan besar kroni kerajaan berbanding rakyat, simpan sahaja ‘simpati pura-pura’nya kepada mereka yang perlu mengorbankan penggunaan jet peribadi untuk ke luar negara, atau orang kenamaan luar yang perlu makan di bawah lilin di rumahnya, kononnya untuk menjimatkan elektrik,” katanya sinis.

Malam 31 Disember lalu, puluhan ribu rakyat berhimpun di Dataran Merdeka untuk menyatakan kemarahan berhubung kos sara hidup yang meningkat, dan akan terus naik pada 2014. – Roketkini.com