Berita

Kit Siang ajak pemimpin BN dan Pakatan ‘muzakarah’

KUALA LUMPUR, 3 JANUARI – Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mengajak barisan pimpinan Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional untuk duduk semeja bagi membincangkan langkah-langkah perlu untuk memperbaiki perpaduan nasional.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata bahawa sangat malang apabila perpaduan masyarakat berbilang kaum seakan menapak ke belakang pada usia negara mencecah 50 tahun, tahun ini.

Kit Siang merujuk insiden serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) semalam ke atas premis Bible Society Malaysia (BSM) di Petaling Jaya dan merampas sebilangan naskhah Bible berbahasa Melayu dan Iban.

Beliau menyifatkan kejadian itu sebagai serangan agresif terhadap hubungan antara agama di Malaysia, selain melanggar hak asasi kebebasan beragama penganut Kristian yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Memandangkan kerajaan nampaknya seperti hilang arah tentang bagaimana mahu membina semula perpaduan nasional, izinkan saya mencadangkan suatu pertemuan di kalangan pimpinan tertinggi Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat,

“Biar pemimpin tertinggi BN dan Pakatan Rakyat bertemu dalam jangka masa seminggu dua ini untuk membincangkan agenda dan ‘blueprint’ Rekonsiliasi Nasional demi Membina Semula Perpaduan Negara,” ujar beliau.

Kit Siang berpandangan bahawa Perdana Menteri nampaknya tidak kelihatan langsung dalam keadaan semasa, malah rakyat juga tidak tahu di mana beliau berada.

“Timbalan Perdana Menteri pula sekadar mencurah minyak ke api sementara menteri kabinet lari menyorok,” tambah beliau, sinis.

“Sekarang giliran Perdana Menteri dan anggota kabinet BN untuk respon.” – Roketkini.com