Berita

Najib jangan berdiam diri isu serbuan JAIS – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 3 JANUARI: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertindak segera untuk menghentikan sebarang tindakan pihak berkuasa yang bercanggah dengan janji-janji Perdana Menteri.

Beliau merujuk serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke pejabat Bible Society Malaysia (BSM) di Petaling Jaya semalam.

Katanya, serbuan itu jelas bertentangan dengan mesej kesederhanaan dan keharmonian yang disampaikan Najib dalam ucapan sambutan Krismas minggu sebelumnya.

“Najib berkata ‘Muslim tidak patut mengguris perasaan Kristian dan begitu juga sebaliknya, Kristian tidak patut mengguris perasaan Muslim’.

“Namun, sentimen itu dipadam dengan serbuan haram dan bertentangan dengan Perlembagaan oleh JAIS,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam serbuan itu, pihak JAIS merampas 321 naskhah Al-Kitab, sementara Pengerusi BSM, Lee Min Choon dan pengurus pejabat, Sinclair Wong dibawa ke Balai Polis Damansara untuk siasatan.

Beliau turut memetik ucapan Najib, yang menyatakan kepentingan pendekatan sederhana dan rasional, agar ‘perbezaan antara agama tidak menjadi faktor yang melemahkan masyarakat, sebaliknya menjadi unsur yang kuat dalam pembinaan negara’.

“Mesej itu sama sekali tidak dipedulikan dalam serbuan semalam,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu lagi.

Justeru, katanya lagi, Najib perlu memberi jaminan bahawa tindakan sebegitu tidak akan dibiarkan terus berlaku kerana ia hanya menjejaskan perpaduan dan menimbulkan perpecahan.

“Kegagalan berbuat demikian akan menjadikan mesej beliau sempena sambutan Krismas dan Tahun Baru hilang makna dan kredibilitinya,” ujar beliau. -Roketkini.com