Berita

Pegawai Kewangan Pulau Pinang perjelas fitnah pembelian Mercedes

GEORGETOWN, 3 JANUARI: Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini menyanggah tuduhan tidak berasas segelintir pihak berhubung pembelian kereta Mercedes Benz s300L untuk Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Haji Mokhtar Mohd Jait dalam kenyataan media hari ini berkata, tuduhan bahawa diskaun RM100,000 yang diberikan untuk kereta itu datang daripada Tan Sri Datuk Seri Tan Kok Ping jelas merupakan satu fitnah.

“Diskaun RM100,000 itu diberikan pembekal Mercedes Benz di seluruh Malaysia bukan oleh ‘dealer’ dan tawaran turut terbuka kepada semua yang ingin membeli kereta jenis s300L keluaran 2012,” tegasnya.

Jelasnya, kerajaan negeri pada peringkat awal memang bercadang untuk membeli kereta Mercedes Benz kepada 15 ahli Exco dan Speaker DUN, namun tidak diteruskan kerana kos cukai tinggi dan urusan bagi mendapatkan pengecualian tidak diperolehi.

“Ketua Menteri dan ahli-ahli Exco enggan menggunakan kereta yang dibeli dengan bayaran penuh cukai serta tanpa ‘fleet discount’ sepertimana dilakukan kerajaan negeri lain kerana kos terlalu tinggi.

“Jadi, pembelian 15 buah kereta Toyota Camry diteruskan untuk Ketua Menteri, Exco dan Speaker. Hanya selepas 15 buah kereta itu diserahkan pada 31 Oktober lalu, barulah pembekal Mercedes-Benz memberikan surat jaminan yang diperlukan tetapi hanya untuk sebuah kereta.

“Selepas itu, barulah Mesyuarat Exco memutuskan sebulat suara untuk membeli sebuah kereta Mercedes-Benz S300L pada 20 November 2013,” jelas beliau.

Tegas Mokhtar, pengecualian cukai yang diperolehi berbanding harga asal adalah tidak berbeza dengan harga kereta lama Mercedes Benz s320L yang dibeli 18 tahun lalu.

“Perbezaan besar antara harga asal sebanyak RM657,218 dengan tanpa cukai dan diskaun iaitu RM298,263 atau pengurangan sebanyak RM358,954 bersamaan 55 peratus, ia tidak berbeza dengan harga kereta lama yang dibeli pada 4 September 1995 bernilai RM271,331

“Sebagai perbandingan kos penyelenggaraan kereta Perdana Executive sebagai contoh, kereta PAC 77 yang telah dibeli pada 14 Oktober 2004 dengan harga RM117,026.36, kos penyelenggaraan untuk 9 tahun pertama sehingga 2013 adalah RM178,105.10 iaitu lebih tinggi daripada harga pembelian asal RM117,026.36. Ini amat merugikan Kerajaan Negeri,” katanya.

Menurut beliau lagi, kereta baru Mercedes-Benz S300L ini dibeli semata-mata adalah kerana pengecualian cukai serta diskaun sebanyak 55% yang diperolehi.

“Tanpa diskaun 56% ini, pembelian tidak akan dibuat.” – Roketkini.com