Berita

Serbuan JAIS bertentangan dengan undang-undang, jejas keharmonian masyarakat

KUALA LUMPUR, 3 JANUARI: Penganut agama Kristian tidak sepatutnya tertakluk kepada Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam, 1988).

Perkara 11 (3) Perlembagaan Persekutuan melindungi hak setiap kumpulan agama untuk menguruskan hal ehwal mereka sendiri termasuk menggunakan perkataan tertentu dalam kitab masing-masing.

Ahli Parlimen DAP Serdang, Dr Ong Kian Ming dalam kenyaatan medianya hari ini menyelar tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang melakukan serbuan ke atas pejabat Persatuan Alkitab Malaysia, semalam.

Beliau berkata, serbuan itu jelas bercanggah dengan hak-hak perlembagaan dan JAIS wajar dengan segera menghentikannya.

Menurutnya, tindakan keterlaluan JAIS itu juga boleh menggugat keharmonian kepelbagaiaan agama di Malaysia.

“Tidak ada sebarang bukti yang dihasilkan untuk menunjukkan bahawa Alkitab bahasa Melayu ataupun ibadat dalam bahasa Melayu sedang digunakan agar dapat menyebar agama Kristian dikalangan umat Islam di negara ini.

“Saya juga khuatir jika tindakan ini dilakukan secara keterlaluan, adakah JAIS akan menyerbu semua gereja di Selangor yang menjalankan ibadat dalam bahasa Melayu dimana perkatan ‘diharamkan’ dibawah tentu akan digunakan.

“Apakah JAIS selepas ini turut akan menyerbu semua kediaman orang Kristian yang disyaki mempunyai Alkitab bahasa Melayu termasuk kediaman saya sendiri? Ini sangat tidak boleh diterima dalam masyarakat berbilang agama dimana kebebasan beragama dilindungi di Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – Roketkini.com