Berita

ADUN DAP Selangor usul pinda Enakmen Agama Bukan Islam pada sidang akan datang

KUALA LUMPUR, 3 JANUARI: Tiga ADUN DAP Selangor akan mencadangkan pindaan ke atas Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.

Ia demi memastikan hak orang bukan Islam dilindungi, pada masa sama terus melindungi umat Islam daripada penyebaran agama seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damansara Utama, Yeo Bee Yin dalam kenyataan tersebut berkata tindakan sewenang-wenang Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan bersandarkan enakmen itu menunjukkan ia perlu disemak.

Beliau merujuk serbuan JAIS ke pejabat Bible Society Malaysia (BSM) di Petaling Jaya semalam dan merampas 321 Bible versi Bahasa Melayu.

“Kami ingatkan JAIS bahawa enakmen itu hanya terpakai untuk mengawal penyebaran agama lain kepada umat Islam. Ia tidak boleh sama sekali diguna untuk halang sesiapa daripada amalkan agama dengan bahasa pilihan mereka,” katanya dalam kenyataan bersama ADUN Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran dan ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San.

Sekyen 9 Enakmen itu menyatakan seseorang melakukan kesalahan jika beliau dalam terbitan; kenyataan atau ucapan awam, kenyataan atau ucapan dalam perjumpaan atau kepada individu, dan dalam kenyataan atau ucapan yang diketahuinya akan disiarkan, menggunakan 34 perkataan Arab untuk menyampaikan kepercayaan dan konsep agama selain Islam.

Antara perkataan yang tersenarai adalah ‘Allah’, ‘Hadith’, ‘Alhamdulillah’ dan ‘InsyaAllah’.

Katanya, peruntukan itu bertentangan dengan Perkara 11(1) dan Perkara 11(3) Perlembagaan Persekutuan, yang memberikan setiap warga hak untuk menganut, mengamalkan dan menguruskan agamanya sendiri.

“Enakmen itu perlu selaras dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan ‘undang-undang negeri dan Wilayah Persekutuan boleh mengawal penyebaran agama lain kepada umat Islam’, tetapi tidak boleh mengawal hak orang bukan Islam amalkan agama mengikut cara mereka,” katanya lagi.

Exco Agama Selangor, Sallehen Mukhyi semalam menyatakan serbuan tersebut tidak dilaksanakan di atas arahan kerajaan negeri, malah kerajaan negeri tidak dimaklumkan JAIS mengenainya.