Berita

DAP cabar BN Sarawak: ‘Buat sebelum kami’

KUALA LUMPUR, 4 JANUARI: “Buat sebelum kami buat,” demikian cabaran yang ditujukan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) Sarawak oleh Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, merujuk kepada projek infrastruktur di bawah kempen ‘Impian Sarawak’.

Bercakap dalam sidang media di Ibu Pejabat Kebangsaan DAP hari ini, beliau berkata projek Impian Sarawak telah berjaya mengejutkan BN dari lena dan bersedia memainkan peranan sebagai kerajaan, dan tidak mengambil mudah undi rakyat Sarawak.

Menurutnya kejayaan projek Impian Sarawak ini dibuktikan dengan tindakan pantas Kerajaan Negeri Sarawak mengarahkan Jabatan Kerja Raya negeri tersebut untuk memintas usaha-usaha Impian Sarawak melakukan kerja-kerja saliran air di kampung Rumah Gerik Ak Tom, dekat Betong.

“Untuk kali pertama dalam masa 50 tahun, penduduk kampung dapat menikmati bekalan air bersih di rumah masing-masing,” kata beliau sambil memberitahu media bahawa paip utama hanya 290 meter jauhnya dari kawasan rumah panjang.

Selama ini penduduk kampung terpaksa menggunakan air dari kolam berhampiran untuk membasuh dan mandi; yang airnya bewarna coklat gelap.

“Namun amat memalukan sekalai apabila projek yang menelan belanja kurang RM10,000 dan memakan masa kurang lima hari hanya dilaksanakan selepas mereka merasa terancam dengan usaha Impian Sarawak,” ujar beliau.

Chieng Jen yang juga Ahli Parlimen DAP Bandar Kuching kemudiannya mencabar kerajaan negeri Sarawak untuk memintas usaha Impian Sarawak dengan menyenaraikan sembilan lagi kawasan projek yang telah dikenal pasti untuk kempen tersebut.

Sembilan projek tersebut adalah:

1. Ulu Wak di Pakan, Julau; sistem bekalan air.
2. Kedup, Serian; sistem bekalan air.
3. Sungai Arang di Marudi, Baram; tidak menerima bekalan tangki air.
4. Rantau Kurra, Medamit di Batu Danau, Limbang; kampung ini berkongsi air dengan sebuah sekolah.
5. Repok, di Sarikei; rumah panjang usang.
6. Kampung Kiding dan Kampung Kakas, di Tarat, Mambong; memperbaiki laluan jalanraya.
7. Sungai Rasau di Bawang Assan, Sibu; memerlukan jeti, tiada akses jalan darat.
8. Batu Niah di Kidurong, Bintulu; infrastruktur perparitan dan akses jalanraya.
9. Salim Pelalang di Dudong, Lanang; projek pembinaan jambatan.

“Kita mengalu-alukan kerajaan BN dan wakil rakyatnya untuk melaksanakan projek yang telah dikenalpasti ini sebelum pasukan Impian Sarawak melaksanakannya,

“Malah pasukan Impian Sarawak berbesar hati untuk membantu usaha mengenalpasti kawasan yang memerlukan perhatian bagi pihak BN secara percuma, demi memastikan warga pedalaman ini dapat menikmati kemudahan asas dan meningkatkan kualiti hidup mereka,” kata beliau.

Pengerusi Majlis Perundingan Dayak, Dr John Brian Anthony pula berkata projek Impian Sarawak ini telah membuka mata masyarakat luar bandar.

“Selama ini mereka percaya hanya BN sahaja yang boleh menolong mereka, manakala pembangkang hanya tahu cakap,” ujarnya dalam sidang media tersebut yang turut dihadiri Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dan Naib Pengerusi Kebangsaan, Teresa Kok.

“Sedangkan di Sarawak, kita boleh lihat paip air dan kabel elektrik merentas kawasan-kawasan rumah panjang Dayak, tetapi ia tidak dihubungkan ke rumah panjang mereka,” tambah beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC). – Roketkini.com