Berita

‘Patah pensel’: Pengamal media luah tuntutan terhadap KDN

KUALA LUMPUR, 4 JAN : Hampir 300 peserta dari kalangan pengamal media dan aktivis masyarakt menyertai Protes Pensel Merah anjuran Gerakan Media Marah (GERAMM) petang tadi, ekoran penggantungan akhbar mingguan ‘The Heat’ oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) akhir Disember lalu.

Protes tersebut turut diserta pimpinan termasuk Ketua Parlimen, Lim Kit Siang, seorang bekas wartawan di zaman mudanya; Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dan ADUN Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran.

Peserta berhimpun di perkarangan Lebuh Pasar berhampiran bangunan Majlis Peguam pada pukul dua petang, sebelum berarak mengharungi hujan lebat menuju Masjid Jamek.

Protes dimulakan dengan ucapan Ketua Pengarang Malaysiakini, Fathi Aris Omar yang juga bertindak sebagai jurucakap GERAMM.

Ia diikuti bacaan doa yang diketuai pendakwah muda, Wan Ji Wan Husin, serta diserikan dengan deklamasi sajak oleh budayawan Rahmat Haron.

Kemuncak protes adalah gimik mematahkan pensil merah, sebagai simbolik suara wartawan yang sekian lama ‘dipatahkan’ pihak kerajaan.

Kira-kira 45 minit kemudian, peserta berarak menuju ke hadapan Masjid Jamek, tapak di mana wartawan Radzi Razak dibelasah pasukan polis sewaktu perhimpunan Bersih 3.0 sambil melaungkan ‘bebas media’ dan ‘hapus permit akhbar’.

Ramai warga yang berada di situ turut menunjukkan sokongan dengan melaungkan slogan bersama dan membunyikan hon kereta.

Di hadapan Masjid Jamek, Fathi Aris Omar sekali lagi berucap, serta diikuti bacaan sajak oleh budayawan terkemuka, Pyanhabib dan nyanyian lagu rakyat oleh Nik Jidan.

Protes turut dihadiri tokoh-tokoh masyarakat yang memberi sokongan, antaranya aktivis, Marina Mahathir; bekas Pengerusi Bersih 2.0, Datuk S Ambiga dan Ahli Majlis Tertinggi KEADILAN yang juga bekas wartawan, Saudara Khalid Jaafar. – Roketkini.com