Rencana

Analisa berita – Marina, gereja dan ketul ais naik harga – Izmil Amri

SEMALAM antara yang hangat ialah gembar-gembur sekumpulan orang Melayu yang katanya mahu berdemonstrasi secara aman di sebuah gereja di Klang. Saya tunggu juga sehingga jam 11 pagi kalau-kalau ada laporan huru-hara mahupun tangkapan, tetapi tak ada.

Selalunya pagi-pagi Ahad, orang Melayu muda melazimi bangun tidur lewat. Orang Melayu berusia pula akan sibuk-sibuk ke pasar, mencuci kereta, menyapu rumah dan sebagainya. Kita belum pernah dengar orang Melayu mahu ke gereja pada pagi Ahad. Sehinggalah minggu lepas. Yang kemudiannya dibatalkan niat itu.

Lagikan ke masjid pada hari Jumaat pun ada yang malas. Ini kan pula mahu ke gereja pada hari Ahad.

Apa yang terjadi ialah sekumpulan Melayu lain pula yang ke gereja Lady of Lourdes di Klang itu, sebagai tanda kebersamaan. Antara yang terampil dan dipaparkan gambarnya di kebanyakan muka depan akhbar hari ini tidak lain adalah anak bekas perdana menteri, Marina Mahathir.

Pemandangan sebegini barangkali belum pernah terjadi. Kecuali kalau kita lihat di internet ketika Mesir di puncak pergolakan dan kelihatan umat Kristian menjadi penghadang mengawal keselamatan ketika umat Islam bersolat, dan juga sebaliknya ketika umat Islam berkawal di luar gereja.

Terinspirasi daripada toleransi yang sedemikian itu maka barangkali umat Islam yang tiada rasa benci di hati turun ke Klang, sedia berkubu andai terjadinya sesuatu yang tidak diingini terhadap sahabat handai dan jiran tetangga mereka yang sedang menjalani pelayanan minggu di gereja tersebut.

Muka depan akhbar-akhbar utama hari ini rata-rata memaparkan gambar bertema aman, dengan wajah Marina tersenyum memegang bunga. Tema muka depan akhbar utama juga berbeza-beza dan tidak khusus memukul gendang ketakutan dan kebencian agama.

Kecuali Utusan Malaysia; dan ini sudah pasti telah kita jangka.

Utusan Malaysia meletakkan tajuk utamanya dengan tulisan huruf besar bewarna merah, ‘ISLAM DIHINA’, sebagai respon kepada cadangan tiga ADUN DAP Selangor yang menyatakan niat untuk membentangkan usul meminda enakmen agama bukan Islam di Selangor; yang sudah jadi berita sejak Jumaat lalu.

Gambar muka depan Utusan juga lain macam. Di penjuru kanan atasnya ada gambar sekumpulan lembu yang disumbat ke dalam sebuah kereta. Manakala gambar utamanya menunjukkan sekumpulan tahanan terakhir Akta Keselamatan Negeri dibebaskan. Tidak ada gambar Marina, kecuali di sisipan dalam, di penjuru bawah dan tersorok.
Cuak barangkali, takut ditegur ayahanda Marina. Ditegur ayahanda Marina itu ibarat ditegur Sang Kelembai. Silap-silap Utusan boleh jadi batu.

Tulisan pojok Awang Selamat juga tiada bicara soal Marina Mahathir bersolidariti bersama umat Kristian di Klang. Sebaliknya berbicara soal Hard Rock Cafe di Putrajaya. Agak teragak-agak barangkali si Awang ini; mahu menulis tentang gereja di Klang, ada anak Mahathir pula. Jadi tulislah tentang Hard Rock Cafe.

Padahal yang panas semalam ialah berita perhimpunan di gereja.

Akhbar lawan Utusan Malaysia si lidah rasmi UMNO, Sinar Harian langsung berlainan berita muka depannya. Malah bukan sahaja muka depan, ia mendedikasikan lima muka surat untuk isu harga ketul ais naik, ditambah dua muka tentang kenaikan kos sara hidup. Selepas itu baru lah disebut tentang isu kalimah Allah dan gereja.

Apa yang dapat kita belajar daripada penyampaian akhbar hari ini?

Bahawa ada dua kelompok besar dalam kalangan pembaca akhbar berbahasa Melayu. Satu kelompok dahagakan konflik, manakala yang satu lagi lebih peduli soal ekonomi poket masing-masing. Yang mana lebih penting? Sentimen atau kepedulian tentang ekonomi peribadi? Agama dan simbol-simbolnya atau ketersepitan masyarakat mendepani hari-hari mendatang dengan amaun wang yang kian berkurang? – Roketkini.com