Berita

DAP kecam tindakan UMNO/BN sengaja biarkan kebencian agama menular

KUALA LUMPUR, 6 JANUARI: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengecam tindakan UMNO dan parti komponennya yang sengaja menyebarkan kebencian kaum terhadap bukan Melayu serta meremehkan hak beragama golongan bukan Islam.

Beliau berkata, tindakan memalukan itu terbukti apabila UMNO selangor bersama MCA, MIC dan Gerakan dengan membuta tuli bertindak dengan melakukan kerjasama untuk melakukan demonstrasi besar-besaran di luar gereja.

“Ini jelas membuktikan bahawa UMNO dengan sengaja meningkatkan ketegangan antara agama dan cuba untuk mengalihkan perhatian dari masalah hidup yang dihadapi rakyat berpunca dari kenaikan harga terhadap gula, petrol, elektrik dan tol lebuh raya. DAP mengecam keras tindakan UMNO dan parti komponen mereka merelakan perbuatan itu.

“Dimanakah jaminan fundamental perlembagaan yang menjamin kebebasan beragama dan semangat 1Malaysia apabila pihak berkuasa agama Islam boleh mendakwa serta bertindak terhadap orang bukan Islam?

“Lebih buruk lagi, rakyat berasa dikhianati apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bukannya bertindak sebagai pendamai tetapi memilih mencurahkan minyak ke dalam api dengan menghalalkan kumpulan Islam berdemonstrasi di luar gereja,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Ahli Parlimen DAP Bagan itu, walaupun BN berusaha gigih mencari jalan untuk memisah dan memecah belah perpaduan, keutuhan rakyat dengan semangat bersama tidak mungkin akan dapat dipecahkan oleh mereka.

“DAP yakin bahawa rakyat akan memilih keharmonian agama dan saling menghormati perpaduan kaum, kehidupan bersama dan menolak demonstrasi keji dan diskriminasi tajaan UMNO/BN itu.

“Ia adalah sesuatu yang menggembirakan untuk melihat peningkatan jumlah orang Melayu dan umat Islam yang tidak bersetuju dengan serbuan oleh polis agama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas Bible Society of Malaysia (BSM), 2 Januari lalu,” tegasnya.

Beliau menambah, UMNO harus sedar majoriti rakyat tidak berbangga dengan permainan kebencian agama dalam isu kalimah ‘Allah’ bagi melagakan orang Islam dan bukan Islam, orang Melayu terhadap bukan Melayu. – Roketkini.com