Berita

Muhyiddin Yassin patut belajar dari Marina Mahathir – Guan Eng

KUALA LUMPUR, 6 JANUARI: DAP menyelar tindakan provokatif Timbalan Perdana, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyokong cadangan demonstrasi depan gereja oleh UMNO Selangor.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, sokongan itu jelas menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab Muhyiddin dan cuba merosakkan hubungan antara agama yang terjalin sekian lama sejak kemerdekaan 1957.

“Dengan sokongan yang diberikan itu, ia juga memperlihatkan bagaimana Muhyiddin sanggup melancarkan serangan bahaya pada asas dan hak perlembagaan iaitu kebebasan beragama. Tiga Perdana Menteri awal Malaysia tidak pernah melakukan tindakan tidak bertamadun seperti ini.

“Muhyiddin harus perjelaskan mengapa sangat dibolehkan untuk berdemonstrasi di depan gereja-gereja Katolik tetapi bila rakyat turun menentang kenaikan harga gula, petrol, tarif elektrik dan tol lebuh raya ia menjadi satu kesalahan?,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen DAP Bagan turut menggesa Muhyiddin agar mengakui kesalahannya menyatakan sokongan itu, sekaligus melakukan paksaan undang-undang Islam ke atas orang bukan Islam.

“Muhyiddin harus mengakui kesalahan bahawa beliau telah membenarkan pemaksaan terhadap orang bukan Islam.

“Ia sangat ironi apabila UMNO/BN sebelum ini telah memberi amaran kepada orang bukan Islam mengenai betapa bahayanya PAS tetapi kini rupa sebenar mereka terpampang jelas.

“Bukan PAS tetapi UMNO/BN sebenarnya yang ‘double standard’ dengan menggunakan kekerasan dan paksaan terhadap orang bukan Islam tetapi tidak mengaku dan menuduh pihak lain,” tegasnya.

Pada masa sama, beliau juga menyarankan Muhyiddin agar mencontohi aktivis sosial, Datin Paduka Marina Mahathir yang tidak mengamalkan amalan pelampau malah hadir memberikan sokongan masyarakat Kristian di Klang, Ahad lalu.

“DAP memuji perpaduan, keharmonian dan muhibah tulen yang dipaparkan diluar Gereja Katolik Our Lady of Lourdes, Klang semalam. Bukan sahaja hampir 1,000 penganut Katolik hadir tetapi beberapa orang Islam termasuk Marina Mahathir.

“Marina bukan saja menolak kebencian agama, malah menyatakan dengan sikap melampau, kerajaan sudah boleh melupakan cita-cita tinggi dalam kempen Tahun Melawat Malaysia kerana tidak bersikap sederhana dan kini dikenali sebagai negara yang membenci Al-Kitab.

“Saya rasa Muhyiddin perlu belajar bagaimana untuk menjadi pendamai dari Marina bukannya berterusan menjadi pentaksub agama dan pengacau untuk kepentingan politik dengan menindas hak bukan Islam,” ujar beliau. – Roketkini.com