Berita

Fitnah melampau, ugutan bunuh: Speaker DUN Selangor kecewa, gesa polis siasat blogger pro-UMNO

SUBANG JAYA, 7 JAN: Berang dengan fitnah terhadapnya, Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh menggesa pihak polis segera menyiasat ‘tentera cyber’ UMNO yang menyebarkan fitnah kononnya beliau berkata ‘Duduk bersila baik untuk wanita hamil’.

Visual yang tersebar di laman sosial Facebook itu memperlihatkan gambar seorang ibu mengandung duduk di lantai dalam sebuah gerabak keretapi, manakala dua individu di sebelahnya duduk di kerusi.

Tambah menghangatkan keadaan, ibu yang duduk di lantai itu berketurunan Melayu manakala yang duduk di kerusi itu pula dua wanita Cina, lantas mencetuskan pelbagai komen berunsur kebencian kaum.

“Saya telah buat laporan polis pagi ini di balai polis USJ 8 dan akan memberikan kenyataan lewat petang nanti,” katanya ketika dihubungi.

“Saya harap pihak polis akan menyiasat ‘cybertrooper’ ini semua; bermula dengan ‘Parpukari’.

“Perbuatan menyebarkan pembohongan dan membangkitkan kebencian perkauman adalah sangat merbahaya,” katanya penuh kesal dengan manipulasi pihak-pihak terbabit yang turut mengakitbatkan nyawa beliau terancam.

Beliau yang juga ADUN DAP Subang Jaya turut berkata bahawa akal manusia yang waras pun sudah cukup untuk menyuruh kita memberikan tempat duduk kepada mereka yang memerlukan.

“Bukan sahaja untuk ibu mengandung, malah ibu dengan anak kecil serta warga tua,” ujarnya.

“Malah sewaktu saya di sekolah pun kami diajar supaya memberikan tempat duduk kepada mereka yang lebih tua,” tambahnya lagi.

Hannah turut menerima ugutan bunuh selain komen-komen buruk terhadapnya di laman sosial berikutan visual tersebut yang tersebar luas di media. Ibu kepada dua orang anak comel itu telah menafikan dengan keras dakwaan fitnah tersebut. – Roketkini.com