Berita

Guan Eng terus tegur ahli majlis tidur pada hari pertama bekerja

GEORGETOWN, 7 JANUARI: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menegur seorang ahli Majlis Perbandaran negeri itu yang didapati tertidur pada hari pertama menjalankan tugas.

Teguran itu diberikan serta merta ketika beliau menyampaikan ucapan dalam upacara angkat sumpah perlantikan ahli majlis di Georgetown, semalam; lapor The Malaysian Insider.

“Saya tidak fikir ia adalah satu permulaan yang baik. Saya bukan mahu mengeluarkan amaran tetapi berharap profesionalisme ahli majlis tidak akan dipersoalkan seperti semasa kita menaikkan elaun ahli majlis kepada maksimum RM3,000.

“Jangan main-main dengan rakyat yang mahu melihat ahli majlis melaksana dan memberikan perkhidmatan terbaik,” katanya ketika menyampaikan ucapan di majlis itu.

Setiausaha Agung DAP itu juga menegaskan bahawa beliau tidak mahu lagi mendengar aduan berkenaan ahli majlis enggan menggangkat atau menjawap panggilan telefon.

Beliau turut menasihatkan ahli majlis agar bekerja sebaik mungkin dibawah arahan Presiden Majlis, Datuk Patahiyyah Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Chow Kon Yeow.

“Jika prestasi anda sebagai ahli majlis dinilai dan didapati merosot oleh Patahiyah, jangan harap untuk dilantik semula.

“Perlantikan anda juga mungkin ditamatkan sebelum tempoh perkhidmatan berakhir dan jangan anggap teguran ini tidak serius,” ujarnya.

Ahli Parlimen DAP Bagan itu mengingatkan bahawa lima daripada 24 ahli majlis adalah lantikan baru dan mereka tidak boleh mengharapkan faedah serta keistimewaan jawatan.

Katanya, ahli majlis juga tidak dibenarkan memegang sebarang jawatan lain agar mereka dapat memberi tumpuan penuh pada tanggungjawab yang diberi.

Sebelum ini, ahli majlis dibayar elaun bulanan asas berjumlah RM700 dan RM60 untuk menghadiri mesyuarat, ia boleh dituntut untuk maksimum 10 mesyuarat.

Elaun bulanan iaitu berjumlah maksimum RM1,300, namun selepas kajian semula, gaji bulanan mereka dinaikkan kepada RM1,500 manakala elaun mesyuarat adalah RM100 dan boleh dituntut selepas 12 kali mesyuarat.

Ahli Majlis juga diberikan elaun komunikasi sebanyak RM300 dan mengikut penyelarasan, elaun keseluruhan adalah sebanyak RM3,000 sebulan. – Roketkini.com