Berita

Lawatan MBPJ ke BSM tidak berniat jahat, jangan panaskan keadaan

PETALING JAYA, 7 JANUARI: Lawatan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) ke premis Persatuan Alkitab Malaysia (BSM) pagi tadi bukanlah berniat jahat.

Demikian kata Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Puasa Md Said dalam sidang media bersama Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua di Bilik Gerakan, Ibu Pejabat MBPJ, hari ini.

Menurut Puasa, lawatan tidak lain hanya berlandaskan prinsip proaktif MBPJ melakukan semakan untuk mendapatkan laporan bangunan kepada Kerajaan Negeri Selangor.

Katanya, MBPJ sangat memahami isu berkaitan BSM adalah sangat ‘panas’ tapi pihaknya terpaksa melakukan juga lawatan itu.

“Lawatan pegawai kami pagi tadi sebenarnya telah disalah ertikan, kerana mereka hanya menjalankan prosedur biasa dan bukannya mahu mengenakan penguatkuasaan, jauh sekali untuk menceroboh BSM.

“Ingin saya nyatakan, sebarang isu yang berkaitan dengan Petaling Jaya, sudah menjadi tanggungjawab MBPJ untuk bersiap sedia dengan laporan status serta rekod bangunan setiap pengusaha.

“Namun, bila disemak kita tidak mempunyai rekod penuh status bangunan BSM kerana ia telah dibina sekitar 80an, jadi kita perlu ke sana untuk mendapatkan maklumat, itu saja.

“Kami juga ingin memohon maaf kerana tidak memaklumkan kepada BSM terlebih dahulu melalui surat ataupun telefon,” katanya.

Menyokong penjelasan itu, Pua yang juga Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan menyatakan dalam perbincangan bersama, MBPJ telah menyatakan secara terperinci sebab-sebab lawatan dan beliau memohon orang ramai supaya tidak lagi memanaskan keadaan.

“Dalam pertemuan saya dengan Bahagian Kawalan Bangunan dan Timbalan Datuk Bandar, mereka memberitahu saya bahawa ia adalah prosedur operasi standard MBPJ untuk mengemas kini maklumat disetiap bangunan jika kontroversi timbul.

“Ini dilakukan supaya pihak mereka mempunyai maklumat secukupnya apabila kerajaan negeri mahu menjalankan siasatan. Bagi pihak MBPJ, saya memohon maaf kerana salah faham yang telah berlaku.

“Saya juga berharap agar diadakan perjumpaan antara MBPJ dan BSM selepas ini agar kerjasama yang terjalin dapat diperkukuh serta menyelesaikan salah faham,” ujarnya. -Roketkini.com