Wawancara

Tan Kok Wai berkisah perihal masa depan Malaysia (Bahagian I)

Tan Kok Wai merupakan Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan dan Pengerusi Lembaga Disiplin DAP dan Pengerusi DAP Kuala Lumpur.

Ahli Parlimen Cheras ini telah memenangi kerusinya sebanyak 5 kali berturut-turut. Beliau juga pernah bergelar Ahli Parlimen Sungai Besi. Kok Wai merupakan personaliti yang amat dikenali dengan ketegasan, kelantangannya mempersoal dan mengkritik dasar-dasar kerajaan sehingga pernah ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 8 September 1990 kerana membantah keras pembukaan tol di Cheras yang dihadiri 10,000 orang.

Ramai yang tidak mengenali beliau tentunya akan beranggapan beliau amat sukar didekati kerana wajahnya yang garang tapi beliau sebenarnya amat ramah dan mudah mesra dengan sesiapa saja.

Wartawan Roketkini, Aliff Fikri dan Jurugambar, Wira Andika baru-baru ini sempat menemui beliau di Pejabat DAP Cheras untuk membincangkan beberapa perkara merangkumi pergolakan politik semasa, kerjasama antara Pakatan Rakyat (PR), persiapan PRU akan datang dan lain-lain lagi.

Apa pandangan saudara mengenai senario politik semasa?

Landskap politik yang sentiasa berubah kedua-dua di peringkat kebangsaan dan antarabangsa memberi kesan ke atas tadbir urus negara ini dan kita memerlukan budaya politik baru untuk membawa negara lebih depan. Ia hanya boleh berlaku dan dimulakan apabila kita berjaya menukar kerajaan sedia ada.

Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan sumber asli dan terlepas daripada bencana alam besar, secara relatif. Jika kita melihat Filipina, Taiwan dan Jepun, negara-negara ini mengalami taufan dan gempa bumi yang membunuh ribuan masyarakat setiap kali berlaku. Ya saya akui, Malaysia juga mempunyai masalah bencana seperti
banjir tetapi kita tidak mengalaminya seteruknya negara yang saya sebutkan tadi.

Namun demikian, Jepun dan Taiwan tidak mempunyai sumber asli yang banyak berbanding Malaysia dan dari segi ekonomi, kita sepatutnya sudah maju ke hadapan. Tapi malangnya, urus tadbir yang salah menyebabkan negara terus ke belakang. Itulah masalah kita yang paling besar dan sehingga sekarang masih tidak berjaya ditangani.

Apakah saudara melihat keadaan politik sekarang semakin menarik apabila kerajaan melakukan pelbagai pelaksanaan tidak masuk akal contohnya seperti pemotongan subsidi, langkah-langkah mengikat perut dan GST?

tankokwai2Ok, sebelum itu, saya ingin mengingatkan rakyat dengan pencapaian yang diperolehi Pakatan Rakyat (PR) pada Pilihan Raya Umum 13 (PRU 13) lalu. Diperingkat Parlimen, PR mendapat 5,623,984 undi dan BN sebanyak 5,237,699 bersamaan 50.9 peratus untuk PR dan BN hanya 47.4 peratus sahaja. Diperingkat negeri, ia lebih mengejutkan apabila PR mendapat 4,879,699 berbanding BN iaitu 4,513,997. Angka ini jelas menunjukkan bahawa pencapaian PR setapak lebih dari BN dan secara keseluruhannya mereka telah ditolak oleh rakyat.

Pelaksanaan GST dan pelbagai pemotongan subsidi pada saya akan lebih menimbulkan kemarahan rakyat. Langkah-langkah ini tidak sepatutnya dilaksanakan sekarang kerana rakyat dibawah, dimana pendapatannya lebih rendah tentunya akan mengalami kesan inflasi dan pengecutan pendapatan. Mereka pasti akan berasa lebih tertindas oleh cukai dan levi yang dikenakan.

Saya juga ingin bertanya dengan sasaran kerajaan BN untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020. Kini tinggal 6 tahun saja dari sekarang, jadi melalui pelbagai tekanan yang diberikan kepada rakyat, apakah keajaiban yang akan dilakukan kerajaan untuk mencapai sasaran itu?

Hari ini hampir 91 peratus daripada isi rumah atau individu memperoleh pendapatan dibawah RM5,000 setiap bulan, yang mana merupakan satu tanda aras anggaran untuk tahap negara berpendapatan tinggi. Namun masih ramai antara mereka yang tidak dapat mencari rezeki.

Bagaimana pula bantuan yang dapat diberikan oleh DAP kepada PR khususnya dalam menangani kerusi marginal majoriti Melayu?

Sebelum 2008, untuk DAP masuk dan berkempen ke kawasan kerusi majoriti Melayu adalah sesuatu yang mustahil.

DAP pada PRU 12 menang dibanyak kerusi pluraliti Cina, salah satunya adalah kerusi Parlimen Puchong, dimana orang Melayu membentuk 44 peratus berbanding komposisi masyarakat Cina iaitu sebanyak 41 peratus.

Tapi pada PRU 13, daripada 38 kerusi Parlimen yang dimenangi DAP, 17 bersamaan 52 peratus mempunyai kurang daripada 60 peratus pengundi Cina. Malah, 9 daripada 17 kerusi mempunyai kurang daripada 50 peratus pengundi Cina.

Apa yang lebih penting lagi, DAP memenangi tiga kerusi Negeri yang majoritinya adalah Melayu, iaitu di Derga, Kedah (56 peratus Melayu); Mentakab, Pahang (52 peratus Melayu) dan Duyong, Melaka (50.3 peratus Melayu). Ini satu pencapaian yang memberangsangkan untuk DAP.

Jika dulu, BN mendakwa peluang terbaik untuk kita hanyalah di kerusi-kerusi yang majoritinya 70 peratus atau lebih masyarakat Cina. Tapi melalui pembentukan PR dan kerjasama kuat yang terjalin bersama PKR dan PAS, kita berjaya menembusi kawasan majoriti Melayu.

Kita juga tidak boleh lari dari hakikat bahawa PR telah berjaya menafikan majoriti dua pertiga BN dua kali berturut-turut, ini petanda jelas bahawa PR semakin utuh terutama dalam pembentukan sistem dua parti di Malaysia. Kedua-dua PRU itu juga menunjukkan bahawa pola pengundian sudah merentasi dongeng Pro PAS adalah Melayu
dan Pro Cina adalah DAP.

Tugas PR kini tentunya mengukuhkan lagi kerjasama dan kedudukan kita bersama kerana rakyat meletakkan harapan tinggi kepada PR dan kita tidak boleh membiarkan mereka kecewa.

Cabaran terbesar kita di masa akan datang pula adalah menembusi kawasan-kawasan kecil yang mempunyai majoriti Melayu. Ia adalah satu tugas yang sukar, tapi melalui kejayaan kita pada PRU 2008 dan 2013, maka tidak mustahil dilakukan agar dapat memperoleh keputusan yang lebih baik jika kita serius mengenainya.

Di Sabah dan Sarawak, DAP telah memulakan program Impian Sabah dan Sarawak, program ini dijalankan untuk membantu membekalkan kemudahan asas khususnya untuk masyarakat di luar bandar. Manakala di Semenanjung pula, kami berharap untuk menjalankan program yang sama nanti.

tankokwai5Kerjasama bersama PKR dan PAS macam mana?

Mengenai kerjasama dalam PR setakat ini masih terdapat beberapa ruang untuk kita perbaiki. Ingin saya tegaskan, PR jauh sekali berbeza dengan Majlis Tertinggi BN kerana menerusi Majlis Pimpinan PR terutamanya di peringkat kebangsaan, kita sering bertemu untuk berbincang mengenai isu-isu berbangkit. Banyak isu-isu rumit telah kita selesaikan bersama dalam perjumpaan itu.

Jadi adakah kerjasama PR di peringkat negeri tidak sama di peringkat kebangsaan? Dan apakah jalan untuk PR perkukuhkannya?

PR adalah sebuah pakatan yang masih agak baru, oleh itu kita memerlukan masa untuk mengukuhkannya. Kita harus ingat, di negeri-negeri tertentu seperti Sarawak dan Sabah, politiknya agak berbeza kerana landskap unik budaya dan geografi. Namun semua ini tidak penting selagi kita mempunyai objektif yang sama, semua halangan akan
kita atasi dalam masa terdekat.

Sebagai bukti, buat pertama kali dalam sejarah, setiap kerusi sama ada Parlimen atau Negeri, kita telah berjaya mengelakkan pertembungan sesama sendiri. Tapi pada saya, kesepaduan kerjasama PR masih belum mencapai tahap optimum dan kita mesti bekerja keras serta berganding bahu untuk mencapainya.

Bersambung…