Berita

DAP kecewa tindakan polis siasat Lawrence Andrew

KUALA LUMPUR, 8 JANUARI: DAP bimbang dan kecewa dengan tindakan pihak polis menyiasat Pengarang Mingguan Katolik, Herald; Paderi Lawrence Andrew mengikut Seksyen 4 Akta Hasuran 1948, kerana mengatakan kalimah Allah akan terus digunakan dalam pelayanan Bahasa Malaysia di gereja di Selangor.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, menyiasat seorang paderi Katolik atas tuduhan menghasut, tanpa menyiasat provokator perkauman dan pelampau yang menyebarkan dakyah kebencian kaum dan agama terhadap orang bukan Islam dan bukan Melayu adalah menentang roh dan semangat hak asasi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan untuk beramal dengan agama masing-masing.

Malah, Andrew juga menunjukkan manuskrip lama bertarikh 1905, yang ditulis dalam bahasa Melayu lama kepada wartawan bahagian yang mengandungi kalimah Allah.

“Adakah manuskrip kuno yang mempunyai nilai sejarah ini turut dirampas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), yang mencetuskan kemarahan antarabangsa dan kutukan terhadap serbuan di premis Bible Society of Malaysia (BSM).

“Dua pemimpin BSM turut ditahan manakala 300 naskhah Bible dalam Bahasa Malaysia serta 10 naskhah Bible dalam bahasa Iban turut dirampas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, tindakan itu diambil tanpa menghiraukan apa yang disebut sebagai penyelesaian 1 perkara yang dirangka oleh Kabinet.

Katanya, ini bersekali dengan tiadanya tindakan diambil terhadap mereka yang menyebarkan kebencian agama dan mengajak berdemonstrasi di hadapan gereja, memperlihatkan bertambahnya kemungkinan tirani ke atas agama minoriti.

“DAP menyeru ke arah pendekatan yang adil dan tidak berpihak daripada pihak polis untuk memastikan bahawa paderi tidak menjadi satu-satunya pihak yang diambil tindakan.

“DAP mengulangi pendiriannya bahawa pihak berkuasa Islam tidak mempunyai bidang kuasa daripada segi undang-undang untuk memasuki premis bukan Islam untuk melakukan pemeriksaan, carian atau serbuan; kecuali jika premis itu bertujuan menyebarkan agama bukan Islam kepada orang Islam.

“Ini adalah peruntukan berperlembagaan yang diterima semua pihak, bahawa JAIS hanya boleh menyerbu masuk ke premis bukan Islam untuk mencari orang Islam yang melanggar undang-undang Islam atau syariah, tetapi tidak terhadap orang bukan Islam,” katanya.

Menurut Guan Eng, serbuan JAIS itu adalah tidak boleh diterima kerana menimbulkan persoalan sama ada rumah ibadat orang Cina dan Hindu pula akan menyusul selepas ini.-Roketkini.com