Rencana

Main nombor ekor, berjudi dengan kos sosial – Sara Ayuni

TAHUN 2014 adalah tahun yang mencabar bagi rakyat Malaysia. Untuk kaki judi, selain kenaikan harga barang, mereka juga perlu berhadapan ujian baru iaitu lebih banyak cabutan nombor akan dibuat di outlet perjudian. Bagi kaki judi, menahan diri daripada berjudi bererti melepaskan peluang untuk mendapat wang.

Selain keuntungan, aktiviti perjudian menjadi hiburan kepada sesetengah orang. Namun, kepada mereka yang serba kekurangan, berjudi memberi lebih daripada itu. Berjudi menjanjikan harapan yang hari bertuah itu akan tiba dan kehidupan menjadi lebih baik dan selesa. Kekalahan hari ini menjadi motivasi untuk mencuba lagi pada hari esok.

Jika kita menyorot kembali kajian yang pernah dilakukan National Council of Problem Gambling Singapura, perjudian bukan sekadar budaya dan hiburan. Tanpa kesedaran dan kawalan, perjudian mampu mendorong kepada ketagihan. Ketagih untuk berjudi ini perlu dilihat sebagai tabiat yang tidak menyihatkan, seperti mana ketagihan dadah dan rokok.

Di Malaysia, terdapat pelbagai laporan berkaitan dengan isu perjudian dan isu ini berhubung terus dengan isu peminjam wang tanpa lesen (along), bunuh diri dan keruntuhan institusi kekeluargaan.

Perjudian tidak sekadar terbatas kepada membeli nombor 4D di outlet NFO (Number Forecast Operations) yang berlesen dan juga yang tidak berlesen. Malah, ada juga kumpulan yang berkongsi minat berjudi ini mengadakan rombongan ke kasino di Genting dan Singapura.

Bagi elit dan ‘orang kaya’, mereka gemar bertaruh dalam perlawanan lumba kuda (horse racing) dan juga berjudi di tengah laut dalam kapal persiaran mewah. Pak cik-pak cik di Flat Rifle Range, Pulau Pinang cukup gembira dengan berjudi di bawah pokok sambil bertaruh bilangan bilah mancis di dalam kotak.

Meningkatnya bilangan ‘Cabutan Khas’

Terdapat pelbagai pandangan mengenai aktiviti perjudian, bergantung kepada gaya hidup masyarakat dan juga keputusan pembuat dasar untuk mengharamkan atau tidak. Daripada segi pemberian lesen juga, hanya beberapa pihak yang berpeluang mendapatkan lesen operasi. Bagaimanapun, masih terdapat juga outlet perjudian yang menjalankan kegiatan secara haram dan kerajaan kehilangan cukai yang cukup besar jumlahnya.

Sebelum ini, bilangan cabutan hanya tiga kali seminggu. Dengan meningkatnya bilangan cabutan khas iaitu 22 kali untuk 2014, pengguna yang memperoleh pendapatan yang kecil, mereka yang tidak berjudi dengan bertanggungjawab dan golongan muda yang tidak mempunyai maklumat berkenaan bahayanya perjudian akan terdedah kepada eksternaliti negatif daripada tindakan ekonomi ini. Secara amnya, dengan tiga kali cabutan setiap minggu, jumlah minimum yang pengguna laburkan untuk berjudi setiap minggu ialah RM9, lebih kurang.

Peningkatan jumlah cabutan khas kepada 22 kali setahun memberikan gambaran kasar berlakunya peningkatan 2 kali cabutan sebulan. Hal ini bermakna, RM36 sebulan sebelum ini akan ditambah dengan RM6 untuk cabutan khas. Setiap bulan, pengguna akan mengeluarkan RM42 untuk berjudi. Kiraan ini hanyalah menggunakan nilai minimum untuk membeli nombor 4D iaitu RM1, perbelanjaan bulanan untuk berjudi setiap individu pasti lebih daripada ini. Permainan lain seperti jackpot 4D, 5D , 6D juga mampu mengekstrak lebih duit daripada kocek pengguna.

Ini baru semalam didedahkan Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke. Keputusan kerajaan ini jelas untuk mengisi semula tabung kerajaan setelah berlaku bocoran di sama sini. Eksternaliti positif atau kesan luaran positif pasti diperoleh oleh industri perjudian yang yang sentiasa ‘kebal’ walau diasak dengan turun naiknya ekonomi.

Kos sosial?

Pada tahun 2006, ada dilaporkan bahawa 80% daripada pengguna yang meminjam daripada along menggunakan wang yang dipinjam untuk aktiviti perjudian. Sekitar tahun 2008 juga terdapat kes seorang lelaki yang cuba membunuh diri dengan terjun daripada tingkap restoran hotel di Genting kerana mempunyai hutang yang banyak. Institusi kekeluargaan terjejas kerana aktiviti perjudian. Emosi anak-anak yang tidak bersalah terjejas dengan masalah ahli keluarga mereka yang gemar berjudi.

Menuntut agar masyarakat berfikir baik dan buruk tanpa memberikan pendidikan tentang bahayanya perjudian bukanlah suatu langkah yang tepat untuk mengatasi kerosakan yang telah berlaku dalam masyarakat. Alangkah peliknya negara yang mempunyai kasino dan outlet-outlet perjudian di seluruh negeri tidak memikirkan kesan buruk perjudian kepada masyarakat. Badan-badan bukan kerajaan meminta agar jumlah ‘cabutan’ setiap minggu dikurangkan, malangnya berlaku pertambahan pula.

Sebuah portal perjudian juga dengan pantas mengeluarkan jadual untuk ‘special draw’, setelah kerajaan meluluskan permohonan untuk meningkatkan jumlah cabutan khas.

Belajar daripada Singapura

Penulis tidak mahu menyentuh tentang ke mana ‘sin tax’ akan disalurkan. Cukuplah jika kerajaan mengambil berat dan bertanggungjawab dengan kesan buruk perjudian kepada masyarakat. Belajarlah daripada Singapura yang berusaha menangani masalah ketagihan judi dalam kalangan penduduknya.

Kerajaan Singapura mengambil inisiatif menubuhkan National Council on Problem Gambling yang bertujuan untuk membuat kajian, memberi pendidikan dan pemulihan. Antara langkah baik yang telah dijalankan ialah ‘Casino Self –Exclusion’ yang berfungsi untuk menahan penjudi daripada masuk ke kasino dan pusat perjudian.Kaedah ini mendapat kerjasama daripada pusat perjudian, setelah mendapat persetujuan daripada penjudi (sewaktu sesi kaunseling) dan ahli keluarga.

Iklan kesedaran tentang bahayanya perjudian kepada masyarakat juga disiarkan di saluran televisyen, misalnya, iklan ‘Hope’ yang berkisar mengenai penjudi yang memikirkan kehidupan gembiranya sebelum beliau mula berjudi dan akibat tabiat buruknya, keluarganya yang tercinta menjadi mangsa.

Masyarakat yang sejahtera mampu dilahirkan dengan polisi dan tauladan yang baik daripada kerajaan, penguatkuasaan yang berintegriti dan sikap rakyat yang bermoral. Harapan ini tidak mampu dicapai sekiranya satu daripada elemen ini pincang.

Kegagalan kerajaan bertanggungjawab terhadap kesan negatif perjudian, malah, menyokong lagi dengan memberikan kelulusan baru sangatlah mendukacitakan. – Roketkini.com