Rencana

Sudahkah anda menerima zakat? – Izmil Amri

DEMOKRASI meletakkan rakyat di tingkat tinggi. Apa sahaja keputusan, apa sahaja polisi harus terlebih dahulu mementingkan keberadaan rakyat, langsung mengingatkan penguasa bahawa sumber ‘kuasa’ yang mereka nikmati di kerusi empuk pejabat pemerintah itu adalah bertunjangkan amanah dan harapan rakyat.

Dipilihnya seorang pemerintah itu atas sebab tiga harapan sekurang-kurangnya. Supaya hartanya terjaga, supaya dirinya aman dan supaya maruahnya terpelihara. Kurang satu maka tidak harus dihukum salah jika rakyat bangkit melawan.

Daripada spektrum asas faham demokrasi ini pula wujud faham lain termasuk sosial demokrasi yang menjadi tunjang ideologi Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Masuk ke perenggan ini anda akan tanya saya, ‘Apa kena mengena intro tiga perenggan ini dengan tajuk menerima zakat’? Sabar, intro mesti kena gempak.

kartunJadi nak dijadikan cerita, pagi ini saya ketemu satu lukisan kartun di laman sosial Facebook. Kartun ringkas ini memperlihatkan seorang tua miskin yang melilau melihat ke sana ke mari.

Ada van bertulis ‘kaunter zakat bergerak’, pondok kaunter pungutan zakat, kain rentang bertanya ‘sudahkah anda berzakat’ dan papan tanda bertulis ‘zakat untuk kehidupan’.

Kemudian gelembung dialog pakcik miskin ini tertulis ‘Mana kaunter beri zakat pada ku…’ Tulisan ‘beri zakat’ ditebalkan.

Saya sendiri tidak tahu kartun lukisan ‘drnots’ tersiar di mana. Tapi saya harap orang yang bekerja di pusat urus zakat itu semua terasa.

Statistik menunjukkan bahawa pungutan zakat dari tahun ke tahun di semua negeri sentiasa bertambah. Ya, di saat ekonomi negara begitu menjerut leher kita orang kebanyakan ini, golongan yang cukup nisab untuk membayar zakat melakukannya tanpa gagal saban tahun. Dan untuk itu kita wajar ucapkan terima kasih.

Kutipan zakat di Kuala Lumpur contohnya mencecah RM283 juta pada 2010. Itu sangat cemerlang berbanding sekadar RM73 juta pada 2001. Statistik yang sedikit pelik hanya kedapatan di Melaka di mana pada kedua-dua tahun 2008 dan 2009 ada kejatuhan mendadak daripada segi kutipan, yang kemudiannya memuncak semula pada 2010 dengan jumlah RM34 juta. Ini juga masih amat besar jumlahnya. (Sumber: http://kpru2010.wordpress.com/2012/01/06/prestasi-pungutan-zakat-dan-soal-tadbir-urus/)

Zakat ini bagi yang tidak mengerti ialah ‘derma yang wajib diberikan orang Islam yang mampu kepada lapan golongan (asnaf) yang berhak menerimanya’. Ini definisi mudah daripada Wikipedia. Ia suatu cabang ibadah umat Islam yang menjaga hubungan sesama manusia. Demikian keadaannya apabila Tuhan memfardukan solat dan zakat dalam satu ayat. Solat itu pertalian manusia sama Tuhan dan zakat itu pertalian manusia sesama manusia.

Wang zakat yang dikumpul ini harus pula diagihkan kepada ‘asnaf’ yang disebut di atas. Lapan golongan layak menerima zakat ini pula jelas nyata sifatnya. Fakir tak punya apa-apa, miskin tidak mencukupi keperluan, ‘amil yang ditugas mengutip zakat, muallaf baru memeluk Islam, hamba menebus diri, penanggung hutang tanpa penghujung, pejuang di jalan Tuhan dan musafir terputus bekalan.

Universiti Kebangsaan Malaysia dalam satu kertas kerja yang dibentangkan pada 2009 di Seminar Kebangsaan Ekonomi Islam menunjukkan perihal pengurusan (pungutan dan agihan) zakat yang tidak begitu menggembirakan.

Kajian Hairunnizam Wahid dan Sanep Ahmad daripada Kumpulan Kajian Ekonomi & Kewangan Islam Universiti Kebangsaan Malaysia bersama Radiah Abdul Kader dari
Universiti Malaya memberitahu:

“Hasil kajian ini juga mendapati majoriti responden tidak berpuas hati dengan pengagihan zakat oleh institusi zakat iaitu sebanyak 57.6 peratus berbanding yang berpuas hati sebanyak 42.4 peratus. Terdapat beberapa negeri yang majoriti responden tidak berpuas hati pengagihan zakat. Negeri tersebut ialah Selangor & WP Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Perak, Johor dan Kelantan. Hanya tiga negeri yang majoritinya berpuas hati pengagihan zakat iaitu Negeri Sembilan, Pahang dan Terengganu.

“Seramai 1,074 responden memberi respons daripada keseluruhan 2,588 responden dan menyatakan alasan dan sebab mereka tidak berpuas hati. Hasil kajian menunjukkan majoriti responden tidak berpuas hati disebabkan kaedah agihan yang tidak jelas iaitu 24 peratus .

“Ini diikuti alasan lain seperti maklumat agihan dan agihan zakat yang tidak menyeluruh yang masing-masing sebanyak 20.8 peratus dan 12.8 peratus. Ini jelas menunjukkan masalah pengagihan zakat yang berkaitan dengan kaedah dan maklumat yang berkemungkinan besar akan menyebabkan pembayar zakat tidak berpuas hati dengan peranan institusi zakat.”

Begitupun kita dapat melihat bahawa meski nisbah agihan kepada kutipan nampaknya begitu tinggi, orang susah dan memerlukan masih mandiri dalam keadaan susah dan kelaparan juga.

Lihat sahaja bagaimana sepasang suami isteri tersadai di hentian bas Shahab Perdana di Alor Setar. Si isteri punya masalah penglihatan, tak mampu bekerja; si suami baru sahaja berhenti maka keduanya tidak mampu bayar sewa rumah sebulan RM200 lalu hidup di stesen bas, mengharap makan daripada belas ehsan orang.

Bagaimana pula dengan adik Nurkhatijah yang terpaksa pecah tabung untuk bayar sebahagian daripada yuran persekolahan dengan duit syiling, sebelum dibantu guru lain? Bukan banyak pun, yurannya cuma RM64.

Ini antara banyak contoh yang menjadi indikator kegagalan besar institusi selenggaraan pemerintah yang bukan sahaja tidak mendahulukan kemaslahatan dan kebajikan rakyat malah ada masanya menjadikan laluan untuk mendapatkan bantuan itu begitu sukar sekali, dan akhirnya akan ada yang mencari jalan keluar dengan kaedah yang bertentangan undang-undang atau nilai agama.

Jadi kita kembali kepada sosial demokrasi.

Antara negara pengamal sosial demokrasi yang terkenal dengan produk utamanya, IKEA; Sweden dikenali dunia sebagai sebuah negara berkebajikan, atau apa yang disebut orang Jawa sebagai ‘welfare state’; menjadikan keadilan distibutif sebagai tonggak kebijakan utamanya. Keadilan distributif (orang Jawa panggil distributive justice) ini secara mudahnya difahami sebagai polisi yang digunapakai kerajaan untuk memastikan harta kekayaan dikongsi bersama rakyat bagi memastikan faedahnya memberi manfaat kepada semua.

Sweden menggunakan keadilan distributif bagi melenyapkan keadaan ekonomi dan sosial yang tidak sekata; maksudnya jurang ekonomi di kalangan anggota masyarakat itu tidak lagi menjadi masalah. Kerana jurangnya sudah tiada, masyarakatnya hidup dalam kondisi dan kualiti kehidupan yang sekata.

Negara kafir yang tidak ada institusi zakat ini pun sudah berjaya mencapai sebuah daulah seakan-akan zaman khalifah Umar Abdul Aziz, di mana tiada orang lagi untuk diberi zakat. Di zaman Umar Abdul Aziz itu, zakat yang begitu banyak malah terpaksa diiklankan untuk kegunaan nikah kahwin dan sebagainya. Ya, pengagihan zakat diiklankan; bukan kutipannya sahaja.

Maka sekali lagi saya tanya. Sudahkah anda menerima zakat? – Roketkini.com