Berita

Kenapa terlalu sukar tunai Penyelesaian 10 Perkara – Tony Pua

KUALA LUMPUR, 10 JANUARI: Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua mempertikaikan kesukaran kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Razak melaksanakan Penyelesaian 10 Perkara berhubung kemelut Al-Kitab, yang diluluskan Kabinet pada 2011 lalu.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, pertikaian itu timbul berikutan Najib sendiri selaku Perdana Menteri mengumumkan kerajaan akan menghormati Penyelesaian itu pada 21 Oktober lalu.

“Jadi, kenapa terlalu sukar untuk Kabinet dalam mesyuaratnya semalam untuk sahkan kerajaan tidak berniat melanggar Penyelesaian itu, dan pastikan semua negeri memperkemaskan enakmen berkaitan berdasarkannya?

“Adakah Najib dalam masa yang singkat, tidak sampai 12 minggu telah berubah fikiran, dan kini teragak-agak untuk memperakuinya?” katanya.

Jika benar, katanya lagi, maka jelas Najib berniat untuk menarik balik Penyelesaian 10 Perkara itu.

Mesyuarat Kabinet pertama pada 2014 dua hari lalu gagal mencapai kata putus yang benar-benar jelas berhubung isu Al-Kitab yang kembali hangat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri S Subramaniam dilaporkan berkata Kabinet akan mengumumkan keputusan kerajaan, manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pula menyatakan ia bergantung kepada keputusan Mahkamah Persekutuan.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara sekali lagi membidas sikap membisu Najib dalam isu itu, terutama berhubung serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke pejabat Bible Society of Malaysia (BSM) tempoh hari.

“Sikap tidak pendulinya hanya membenarkan ketegangan untuk terus tersebar, terutama dengan kenyataan bertentangan menterinya sendiri.

“Kami ingin ingatkan, kredibiliti beliau di peringkat antarabangsa dalam taruhan. Dunia memerhati dan kedudukannya akan menjunam jika beliau gagal menunaikan kata-katanya berhubung Penyelesaian 10 Perkara itu,” katanya.

Maka, beliau sekali lagi menyeru Najib bersikap rasional dan memberikan hak kepada rakyat Malaysia untuk mengamalkan agama dalam bahasa pilihan mereka.

Pada 2 April 2011, kerajaan mengumumkan Penyelesaian 10 Perkara sebagai penyelesaian kepada isu Al-Kitab bahasa Melayu.

Antara persetujuan yang dicapai adalah; Al-Kitab dalam apa-apa bahasa boleh dibawa masuk ke Malaysia, termasuk dalam Bahasa Malaysia dengan syarat – bagi Semenanjung Malaysia, naskhah itu perlu diletakkan lambang Salib dan ‘Christian Publication’ pada muka depannya. -Roketkini.com