Berita

Pelaburan di Pulau Pinang meningkat 100 peratus

GEORGE TOWN, 9 DISEMBER: Pelaburan di Pulau Pinang meningkat 100 peratus dalam tempoh lima tahun iaitu RM36.1 bilion antara 2008 hingga 2012 berbanding tempoh yang sama antara 2003 dan 2007 hanya mencatat RM18.7 bilion.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, tempoh lima tahun adalah ukuran yang lebih tepat dan selaras bagi prestasi pelaburan daripada sekadar merujuk prestasi setahun atau sebulan.

Beliau berkata, Pulau Pinang berada pada kedudukan teratas dalam carta pelaburan dalam tempoh antara 2010 dan Ogos 2013.

“Saya tidak akan mengulas kenaikan harga petrol tetapi berdasarkan beberapa laporan akhbar menyatakan pelaburan di Pulau Pinang dalam keadaan kritikal, jelas bertujuan mengalihkan perhatian daripada kenaikan harga gula, petrol, tarif elektrik dan tol oleh kerajaan Persekutuan BN.

“Hal ini berbeza dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang tidak mengenakan apa-apa peningkatan dalam tarif air, cukai tanah dan taksiran pada 2014,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Guan Eng berkata, bagi rekod, beliau ingin merujuk kepada satu jawapan bertulis Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada Ahli Parlimen DAP Kuching, Chong Chien Jen di Parlimen pada September tahun lalu.

“Bagi tempoh 2010 hingga Ogos 2013, sejumlah 3,023 projek perkilangan dengan pelaburan berjumlah RM174.3 bilion diluluskan. Daripada jumlah itu, sebanyak RM102.9 bilion (59 peratus) adalah pelaburan asing, manakala RM71.3 bilion (41 peratus) adalah pelaburan tempatan.

“Dalam tempoh yang sama, lima negeri mencatat jumlah pelaburan asing tertinggi adalah seperti berikut:

• Pulau Pinang (RM19.7 bilion daripada 186 projek perkilangan).
• Johor (RM16.7 bilion daripada 374 projek perkilangan).
• Sarawak (RM15.6 bilion daripada 54 projek perkilangan).
• Selangor (RM15 bilion daripada 439 projek perkilangan).
• Kedah (RM8 bilion daripada 79 projek perkilangan).

Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2013 pula, sejumlah 463 projek perkilangan dengan pelaburan berjumlah RM29.9 bilion telah diluluskan. Daripada jumlah itu, RM18.8 bilion (62.9 peratus) adalah pelaburan asing, manakala RM11.1 bilion (37.1 peratus) pelaburan tempatan.

Dalam tempoh itu, lima negeri mencatat jumlah pelaburan asing tertinggi iaitu:

• Johor (RM6.6 bilion daripada 63 projek perkilangan).
• Sarawak (RM4.2 bilion daripada 10 projek perkilangan).
• Melaka (RM2.7 bilion daripada 10 projek perkilangan).
• Selangor (RM1.1 bilion daripada 58 projek perkilangan).
• Pulau Pinang (RM1 bilion daripada 28 projek perkilangan).”-Roketkini.com