Berita

Pulau Pinang jadi pilihan IKEA melabur

GEORGE TOWN, 10 JANUARI: Inter IKEA Group yang memiliki gedung terkenal di Malaysia, Singapura dan Thailand akhirnya memuktamadkan hasrat untuk turut serta memajukan projek pembangunan bercampur di atas tanah seluas 245 ekar di Taman Perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang.

Fasa satu dan dua gedung perabot popular itu akan dibina oleh syarikat Ikano Pte Ltd, manakala, pejabat serta projek perumahan di bawah projek pembangunan bercampur sama akan dibina dengan kerjasama syarikat tempatan Aspen-Ikano, iaitu anak syarikat Aspen Vision Land Sdn Bhd.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memberitahu, 30 ekar tanah di Batu Kawan disediakan untuk pembangunan gedung IKEA fasa pertama, diikuti fasa dua projek serupa di kawasan seluas 45 ekar.

Manakala, 170 ekar lagi, katanya, untuk pembangunan bercampur.

“Kos keseluruhan projek itu RM484 bilion (RM483,951,600) dan pembayaran mesti dibayar dalam masa 60 bulan daripada tarikh perjanjian dimeterai.

“IKEA sah datang ke Pulau Pinang. Ini adalah gedung IKEA pertama di luar Kuala Lumpur,” ujar Guan Eng pagi tadi dalam sidang media di KOMTAR.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sudah menerima deposit yang tidak boleh dikembalikan sebanyak RM5 juta.

Pengurus Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar, Datuk M Murly (Pengasas dan Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan Aspen) dan Aspen, Datuk Seri Nazir Ariff (Pengasas Bersama dan Pengerusi Aspen Aspen) turut hadir pada sidang media itu.

“Orang Pulau Pinang sudah bertahun menunggu IKEA membuka perniagaannya di sini.

“Dengan kehadiran IKEA, kerajaan negeri berharap PDC akan berjaya dalam usahanya menjadikan Batu Kawan lokasi yang lebih menarik untuk mereka yang berada di bahagian pulau untuk tinggal, bekerja dan berekreasi,” ujar beliau.-Roketkini.com