Berita

DAP gesa Kerajaan BN Johor siasat segera bangunan rosak akibat gegaran.

PONTIAN, 11 JANUARI: Tiga lot kedai di Kukup didapati terjejas teruk akibat gegaran yang menyebabkan tiang penyokong utama bangunan rosak.

Gegaran yang berlaku pagi Khamis lalu itu pada mulanya dipercayai berlaku akibat fenomena gempa bumi di Kukup Laut, namun setelah siasatan dijalankan ia dikesan berpunca dari pergerakan tanah tidak stabil dikawasan berkenaan.

Menurut seorang pemilik premis, bangunan terbabit telah dibina 14 tahun lalu dan mendapat Sijil Kelayakan Menduduki (CF) pada 2009.

Katanya, bangunan itu juga merupakan projek usaha sama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Majlis Daerah Pontian (MDP) dan sebuah syarikat swasta.

Dalam lawatan ke tempat tragedi petang tadi, Ahli Jawatankuasa Pemuda DAP Kebangsaan, Mahdzir Ibrahim menggesa kerajaan negeri Johor agar mengambil alih siasatan kes memandangkan perlantikan perunding forensik Majlis Daerah Pontian (MDP) tidak mempunyai kewajarannya.

“Saya memohon kerajaan negeri mengambil siasatan kes kerana perlantikan MDP agar tidak wajar disebabkan mereka sendiri terlibat dalam projek lot kedai ini bersama pihak swasta.

“Untuk mengelakkan dari berlakunya konflik siasatan, adalah wajar kerajaan negeri sendiri membuat siasatan segera dan menyeluruh ,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Mahdzir, kerajaan negeri harus melaksanakan tindakan segera kerana sebarang kelewatan bakal menjejaskan urusan perniagaan harian dan membahayakan keselamatan mereka.

Jelasnya, setakat ini seorang Pegawai Kanan MDP yang tidak mahu namanya didedahkan menyatakan PBT telah mengambil tindakan menutup kawasan mengawalnya 24 jam sebagai langkah berjaga-jaga hingga siasatan selesai.

Beliau menambah, DAP dan Pakatan Rakyat (PR) Tanjung Piai juga akan menyiasat dan mengenal pasti nama syarikat swasta yang mengusahakan projek premis bangunan itu untuk tindakan lanjut.

“Kami akan mengenal pasti syarikat swasta yang bertanggungjawab dan terus membantu memantau perkembangan tragedi,” ujarnya. -Roketkini.com