Berita

Kembalikan ISA: Pemikiran Khalid ketinggalan zaman

KUALA LUMPUR, 13 JANUARI: Tindakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyokong pelaksanaan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) membuktikan pemikirannya yang ketinggalan zaman, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Gasing, Rajiv Risyakaran.

“Khalid yang mahu ISA dikembalikan semula dengan alasan meningkatkan kecekapan penangkapan ternyata berfikiran singkat, tidak mengambil kira harga yang bakal ditanggung rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menganggap pandangan Khalid itu autokratik kerana ISA membenarkan tahan tanpa bicara itu jelas bercanggah dengan semangat undang-undang iaitu individu hanya didapati bersalah selepas dibuktikan di muka pengadilan.

“Rejim UMNO-BN telah memperalatkan ISA untuk menangkap musuh politik mereka, seperti apa yang terjadi dalam Operasi Lalang,” katanya merujuk peristiwa yang berlaku pada 1987, di mana lebih 90 individu ditahan.

Sebelum ini, media melaporkan Khalid menyokong cadangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar ISA yang dimansuhkan pada 2012 itu dikembalikan.

Kenyataan itu ternyata mendapat kritikan pelbagai pihak, termasuk Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua yang menyifatkan Khalid sebagai tidak layak menjadi KPN.

Beliau berkata lagi, kewujudan akta itu hanya menjejaskan nama baik Malaysia, berikutan ISA sering dikaitkan dengan negara autokratik dan melanggar hak asasi manusia.

“ISA harus menjadi sejarah negara untuk selama-lamanya, agar tiada lagi pihak yang dapat merampas hak rakyat,” katanya lagi. -Roketkini.com