Berita

Wanita DAP puji usaha P Pinang lantik lebih ramai ahli majlis wanita

KUALA LUMPUR, 13 JANUARI: Pakatan Rakyat ternyata mendahului Barisan Nasional dalam usaha mencapai objektif 30 peratus pembuat keputusan daripada golongan wanita.

Terbaru, Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengumumkan DAP akan menambah bilangan ahli majlis wanita, bermakna setiap Jawatankuasa Perhubungan Kawasan Parlimen akan dianggotai sekurang-kurangnya seorang wanita.

Mengalu-alukan pengumuman tersebut, Pengerusi Wanita DAP Kebangsaan, Chong Eng berkata, langkah itu penting untuk mengarusperdanakan peranan wanita dalam dasar kerajaan.

“Ia mengikut jejak kerajaan Selangor yang melaksanakan hal serupa,” katanya dalam satu kenyataan.

Selaku Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Pulau Pinang, katanya, beliau akan terus memperjuangkan penglibatan wanita sebagai pembuat dasar kerajaan.

“Saya telah bawa cadangan 30 peratus wanita dalam pelantikan Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kepada Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mohd Rashid Hasnon.

“Beliau beri maklum balas positif. Pelantikan minimum 30 peratus itu dapat beri peluang wanita menyampaikan suara, selain kurangkan jurang antara gender (dalam perangkaan dasar),” katanya lagi.

Manifesto Pakatan Rakyat sebelum ini turut menggariskan sasaran 30 peratus penglibatan wanita di peringkat pengurusan, kepimpinan dan pentadbiran sektor awam dan swasta menjelang tahun 2017.

Dalam pada itu, katanya lagi, Wanita DAP akan terus mengadakan latihan kepada ahli wanita agar bersedia menggalas tanggungjawab yang bakal diberikan.

“Kita juga akan menggalakkan PKR dan PAS untuk terus aktif mengarusperdanakan wanita dalam dasar kerajaan, agar dapat mempercepatkan perlaksanaan dasar inklusif jantina, seterusnya menggalakkan lebih ramai wanita tampil ke hadapan,” katanya lagi. -Roketkini.com