Berita

Pulau Pinang tuan rumah Kejohanan Skuasy Wanita Terbuka Dunia

KUALA LUMPUR, 13 JANUARI: Pulau Pinang dipilih menjadi tuan rumah acara berprestij, Kejohanan Skuash Wanita Terbuka Dunia 2013 antara 14 dan 21 Mac ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengumumkan perkara itu pada sidang media khas di Garden Hotel, Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, persetujuan Persatuan Skuasy Wanita Dunia (WSA) memilih Pulau Pinang menganjurkan kejohanan antarabangsa itu adalah satu pengiktirafan.

“Pulau Pinang juga bercita-cita menjadi sebuah bandar raya sukan, selain menjadikan Pulau Pinang bandaraya bersih, hijau dan sihat.

“Ia adalah satu pengiktirafan bahawa kami ada kemudahan dan infrastruktur untuk acara antarabangsa serta pengalaman dan kepakaran menganjurkannya,” katanya.

Pemilihan Pulau Pinang menjadi tuan rumah kejohanan itu adalah berikutan Hong Kong dan Mesir menarik diri sebagai penganjur tahun lalu.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, pembatalan kejohanan tahun lalu bermakna pemain nombor satu dunia, Datuk Nicol David melanjutkan tempoh sebagai penyandang juara.

“Kerajaan Negeri merasa satu yang amat merugikan apabila Nicol yang juga anak jati Pulau Pinang tidak dapat menambah koleksi hebat tujuh kejuaraan dunia antara 2005 hingga 2012.

“Rakyat Malaysia, terutama warga Pulau Pinang, menanti dengan penuh minat untuk menyaksikan Nicol mempertahankan kejuaraan untuk kali kelapan nanti.

“Dengan menjadi tuan rumah kejohanan, warga Pulau Pinang berpeluang menyaksikan sendiri kehebatan ‘Ratu Skuasy’ itu beraksi nanti,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kejohanan itu akan disiarkan menerusi stesen tv dan media antarabangsa.

“Program dan ‘streaming’ di SquashTV akan memastikan aksi kejohanan disaksikan di seluruh dunia, ditambah dengan liputan media bertulis (akhbar dan majalah), internet dan radio daripada Perkhidmatan Media WSA,” katanya.

Kejohanan Skuasy Wanita Terbuka Dunia itu berkemungkinan menelan belanja sehingga RM1 juta dan membabitkan hadiah wang tunai USD120,000.

Kejohanan utama WSA itu membabitkan pemain bertaraf dunia daripada 20 negara, dengan menampilkan 32 pemain utama dan 64 pemain pada pusingan kelayakan.-Roketkini.com.