Berita

Tindakan tanpa asas undang-undang, DAP akan heret ROS ke mahkamah

KUALA LUMPUR, 15 JANUARI: DAP akan memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang tetap tidak mahu mengiktiraf keputusan pemilihan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) pada 29 September 2013 lalu.

Pengerusi Biro Peguam DAP Kebangsaan, Gobind Singh Deo berkata, ia ekoran ROS tiada kuasa dari segi udang-undang untuk berbuat demikian.

“Keputusan ROS salah di sisi undang-undang. Dalam keadaan ini, ROS tidak boleh menolak untuk mengiktiraf CEC DAP yang diundi.

“Kami juga berpendapat arahan ROS agar ahli CEC yang diundi tidak membuat sebarang keputusan bagi DAP juga adalah tanpa sebarang asas undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Keputusan ROS untuk tidak mengiktiraf keputusan pemilihan, serta melarang ahli membuat keputusan parti disampaikan melalui satu surat kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada 6 Disember lalu.

DAP kemudian menghantar surat kepada ROS, meminta ia menjelaskan peruntukan undang-undang yang memberi kuasa kepadanya untuk membuat keputusan sedemikian, dan memberi masa 14 hari kepada ROS untuk memberikan maklum balas.

Namun sehingga kini, kata Ahli Parlimen Puchong itu lagi, ROS gagal memberikan apa-apa balasan, walaupun ia berhubung soal yang sangat penting.

“Ia menunjukkan ROS gagal bertindak dengan bertanggungjawab, dan tidak telus dalam membuat keputusan, terutamanya terhadap DAP,” katanya.

Katanya lagi, sikap berdiam diri itu juga menunjukkan ROS tidak dapat mempertahankan keputusannya, dan menambahkan lagi persoalan berhubung keabsahan keputusannya.

“Maka, kami tiada pilihan lain selain daripada membawa perkara ini ke mahkamah,” katanya lagi. -Roketkini.com