Rencana

Sosialisme bukan sosialisme, kapitalisme bukan kapitalisme – Muhammad Nazreen

IDEOLOGI merupakan asas penting buat setiap parti politik. Parti politik yang dominan dan berpengaruh tentulah mempunyai ideologi yang sangat kukuh dan kuat. Idealisme sesuatu perjuangan itu diterjemahkan menjadi ideologi supaya hala tuju politik yang dicita-citakan kekal dalam satu landasan yang sama.

Kurang lebih, memahami perjuangan politik tentulah bermula dengan memahami ideologi yang diperjuangkan. Nah, mustahil untuk kita menyokong sesuatu idea tanpa hujah yang kukuh ; ideologi berfungsi seperti hujah dan parti politik sebagai kenyataan. Bagaimana kita menyokong sesuatu kenyataan  jika hujah itu tidak menyakinkan dan dalam kata-kata hikmat Mao Tse-Tung: ‘Seek truth from facts!’ (Carilah kenyataan daripada fakta)

DAP dan agenda masyarakat demokratik

Persoalan dan perbincangan mengenai ideologi parti politik di Malaysia jarang mendapat tempat yang sepatutnya. Walhal, peranan ideologi sangat penting di dalam membentuk dokumen sosial yang diperjuangkan parti politik. Tanpa memahami kerangka ideologi dengan baik, kita akan gagal menekuni perjuangan parti politik itu. Malah menurut pemikir sosialisme Inggeris, E.P Thompson : ‘A party without ideology is like a head without brain!‘ (Parti tanpa idealogi umpama kepala tanpa akal)

Jadi, penulis memilih menceritakan sedikit mengenai idealogi Parti Tindakan Demokratik atau lebih dikenali sebagai DAP. Ramai yang tidak tahu bahawa DAP mempunyai idealogi kepartian yang unik dan sedikit berbeza dengan kebanyakan parti lain.

Sekitar awal penubuhan DAP pada 1967, ia dianggap sebuah parti yang bersifat ‘multiracial’ atau pelbagai kaum, ketika mana – pada zaman itu, parti komponen di dalam Perikatan (kini Barisan Nasional) merupakan parti berasaskan kaum. DAP sering digandingkan dengan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) sebagai parti masa hadapan.

Di dalam surat yang ditulis Willi Eichler, pemimpin German Social Democratic Party yang menjawat jawatan Pengerusi Suruhanjaya Godesberg Programme kepada pimpinan DAP pada Februari 1969, beliau menegaskan bahawa:

The Democratic Action Party is irrevocably commited to the ideal of a free, democratic and socialist Malaysia and to the institutions of parliamentary  democracy. Thus, this party forms a part of the worldwide movement of democratic socialism to which also belongs the Social Democratic Party of Germany whose programme invokes freedom, justice and solidarity as the basic values of democratic system.

(Parti Tindakan Demokratik komited ke arah masyarakat yang bebas, demokratik tanpa berbelah bahagi ke arah Malaysia yang sosialis dan kepada institusi demokrasi berparlimen. Parti ini membentuk gerakan ke arah sosialisme yang demokratik di mana ia turut digerakkan serupa seperti program di bawah kendalian Social Democratic Party of Germany yang menzahirkan nilai asas sistem yang demokratik seperti kebebasan, keadilan dan solidariti).

Seterusnya, apakah ideologi yang dijunjung DAP? Adakah DAP memperjuangkan komunisme seperti fitnah Utusan Malaysia atau tuduhan DAP mewakili golongan kapitalisme yang percaya dengan konsep penswastaan dan kerajaan terhad? Untuk mengenalpasti ideologi yang diperjuangkan DAP, rasanya lebih afdal untuk kita kembali meneliti sumber asas yang menjadi pegangan politik DAP selama ini iaitu Deklarasi Setapak 1967.

Dokumen ini sinonim dengan penubuhan parti DAP pada 29 Julai 1967. Dokumen ini ditulis ketika Perang Vietnam sampai di kemuncaknya. Pada masa yang sama, Parti Komunis Malaya (PKM) diusir ke hutan akibat melancarkan gerakan bersenjata untuk mendirikan sebuah republik komunis pada 1960 mula mendapat sokongan dan bantuan Parti Komunis China di bawah pimpinan Mao Tse Tung untuk menyerang Tanah Melayu. Pada 1967 juga, sasterawan negara, Abdullah Husain menulis novel ‘Interlok’ yang menjadi kontroversi perkauman baru-baru ini.

Berikut adalah petikan daripada teks asal Deklarasi Setapak 1967:

“Kami, Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Parti Tindakan Demokratik, bersama dengan ahli Jawatankuasa Cawangan Parti, berhimpun di Setapak, Kuala Lumpur, pada 29hb Julai, 1967, menyarankan dan mengesahkan semula polisi dan prinsip panduan asas Parti Tindakan Demokratik, sebagaimana yang ditunjukkan berikut. Kami dengan tegasnya berazam untuk terus menguruskan aktiviti dan semua pendekatan kami terhadap masalah sosial, politik ekonomi dan budaya di Malaysia dengan berpandukan polisi dan prinsip panduan asas yang sama.

OBJEKTIF

  • DAP berjanji akan berpegang kuat kepada ideologi satu negara Malaysia yang bebas, demokratik dan berfahaman sosialis, berdasarkan prinsip keadilan kaum, serta kesaksamaan sosial dan ekonomi, yang berasaskan institusi demokrasi berparlimen.

  • Kami percaya bahawa adalah munasabah untuk memobilisasikan sokongan bilangan majoriti rakyat Malaysia yang berbilang kaum supaya turut menuju ke arah tujuan ini dan kami harus menganggap pemobilisasi sokongan berkenaan sebagai objektif utama kami.

  • Kami sedar bahawa dalam usaha menuju ke arah tujuan ini, kami akan bertemu dengan pelbagai rintangan yang kuat, bukan sahaja yang datang daripada parti Perikatan dan Kerajaan, malah yang datang daripada kuasa politik yang bermusuhan dengan negara Malaysia dan yang didorong oleh kuasa dan ideologi asing.

  • Kami menyarankan semula bahawa DAP sanggup dipimpin oleh perspektif dan hasrat Malaysia yang tulen. Kami tidak boleh membiarkan diri kami dibias daripada haluan asal sama ada oleh reaksioner dan kumpulan haluan kiri atau pun oleh sayap kiri yang anti-Malaysia dan yang didorong orang asing. Kami juga tidak boleh membiarkan diri kami dimanipulasikan oleh kedua-dua kumpulan terbabit.

  • Demi mencapai objektif utama kami, syarat paling penting adalah kejayaan di dalam proses pembinaan negara di sebuah masyarakat berbilang kaum. Tapi dalam proses pembinaan negara yang begitu penting ini, Kerajaan Perikatan melakukan kesalahan kerana mengkhianati secara kasar dan serius harapan seluruh negara.

Inilah tugas suci yang kreatif dan membina dalam pembinaan negara yang kami dalam DAP berdedikasi untuk memikulnya.”

Sesungguhnya, penubuhan DAP bermatlamatkan sebuah negara yang tidak lagi membincangkan agenda  perkauman dengan khusus. Jika dirujuk kembali kepada dokumen ‘Deklarasi Setapak’, perjuangan DAP tidak jauh berbeza dengan kebanyakan parti berideologi kiri sederhana yang lain di seluruh dunia, seperti Parti Buruh di England dan Australia, Parti Sosial Demokrat di Jerman, Norway dan Sweden.

DAP menolak sebarang unsur komunisme yang bercadang secara radikal untuk melahirkan masyarakat tanpa kelas melalui konsep ‘dictatorship of the proletariat’ di mana golongan kelas pekerja menguasai kuasa politik dan meminggirkan golongan borjuazi. DAP turut menolak seruan ke arah revolusi setelah melihat contoh revolusi yang berlaku di seluruh dunia bertukar menjadi kepimpinan yang bersifat autoritarian.

DAP turut memelihara hak individu untuk setiap warganegara di dalam sebuah pemerintahan demokratik di mana nilai sama sekali bertentangan dengan perjuangan komunisme. DAP adalah satu-satunya parti politik di Malaysia yang merupakan ahli tetap kepada gerakan sosialisme terbesar di dunia, Socialist International.

Besambung di Bahagian 2, “Antara DAP dan Gerakan, Sama tapi Berbeza”

– Roketkini.com