Berita

Skandal PKFZ: Kalau Ling Liong Sik dizalimi, tubuhkan RCI dan siasat

KUALA LUMPUR, 18 JANUARI: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, tuduhan bekas Presiden MCA, Tun Ling Liong Sik bahawa dia dituduh secara salah dalam kes skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) menguatkan lagi seruan beliau agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyelesaikan kes itu.

Ling yang dibebaskan daripada semua tuduhan pada Oktober 2013 berkata dalam satu wawancara 16 Januari lalu, bahawa beliau telah didakwa di mahkamah sebelum Pejabat Peguam Negara mendapatkan bukti.

Kit Siang berkata, jika tuduhan itu benar, RCI adalah satu-satunya jalan untuk menyelesaikan kes itu dan memberi keadilan keapada semua pihak.

“Jika tuduhan itu benar, ia adalah suatu yang amat dikesali dan tak dapat diterima. Saya bersedia membelanya.

“Tiada apa yang patut disembunyikan untuk memastikan beliau dan bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy mendapat keadilan. Adakah mereka berdua akan meyokong seruan saya agar RCI ditubuhkan?” katanya dalam satu kenyataan.

Malah lebih penting, katanya lagi, ialah keadilan bagi 29 juta rakyat Malaysia yang berhak menyaksikan pihak yang bertanggung jawab dalam skandal bernilai RM12.5 bilion itu dihadapkan ke muka pengadilan.

Dalam wawancara tersebut, Ling yang sedang menulis buku tentang pengalamannya dalam kes itu turut mengatakan kepercayaannya kepada sistem kehakiman negara telah hilang.

Walau bagaimanapun, Ahli Parlimen Gelang Patah itu menyifatkan kenyataan Ling itu bersifat hipokrit, memandangkan beliau turut bertanggungjawab ke atas kepincangan sistem kehakiman hari ini.

“Beliau adalah sebahagian daripada kerajaan Tun Mahathir Mohamad yang memulakan krisis kehakiman 1988, yang memecat Ketua Hakim, Tun Salleh Abas dan Hakim Mahkamah Tinggi, Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh dan Datuk George Seah secara tidak sah.

“(Bekas Perdana Menteri) Tun Abdullah Badawi pun telah menyatakan kekesalan berhubung peristiwa itu. Pernahkah Ling menyatakan kekesalan kerana menolong dan bersekongkol dengan Mahathir?” katanya lagi. -Roketkini.com