Berita

DAP lapor polis UMNO Pulau Pinang cetus ugutan ulang 13 Mei

GEORGE TOWN, 19 JAN – Satu laporan polis telah dibuat berikutan tindakan provokasi bahaya yang dilakukan pemimpin-pemimpin UMNO Pulau Pinang yang mengetuai demonstrasi di Seberang Jaya, semalam.

Laporan polis telah dibuat oleh Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

Antara provokasi yang dilakukan termasuk membawa sepanduk yang berbaur fitnah dan hasutan seperti “DAP musuh Islam” dan “Kerana mulut pemimpin DAP, 13 Mei 1969 terjadi… Mahu lagi kaa?” serta ucapan yang mengapi-apikan sentimen perkauman dan agama.

Pemimpin-pemimpin UMNO Pulau Pinang yang hadir termasuklah Ahli Parlimen Kepala Batas Dato’ Reezal Merican, Setiausaha UMNO Pulau Pinang Dato’ Musa Sheikh Fadzir, Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang Rafizal Rahim serta mantan Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang Sheikh Hussein Mydin.

“Tindak-tanduk mereka merupakan perbuatan yang sungguh tidak bertanggungjawab, berunsur hasutan dan bertujuan untuk mencetuskan ketegangan kaum serta huru-hara dalam kalangan masyarakat berbilang kaum kita,” kata kedua-dua Ahli Parlimen muda DAP itu dalam satu kenyataan bersama.

“Pada masa yang sama, kenyataan-kenyataan mengenai DAP yang tertera dalam sepanduk serta ucapan mereka adalah langsung tidak benar dan merupakan dakwaan yang tidak berasas sama sekali,” tambah mereka lagi.

Menurut mereka lagi provokasi kaum dan agama serta ugutan Mei 13 yang digunakan oleh UMNO ini adalah gara-gara kegagalan kerajaan UMNO-Barisan Nasional untuk mentadbir ekonomi sehingga rakyat terpaksa mengikat perut menghadapi kenaikan barangan yang mendadak.

“Taktik kekecohan dan perkauman digunakan untuk mengalih perhatian daripada perkara yang lebih genting seperti hal ehwal ekonomi, kepincangan pentadbiran kerajaan dan gejala rasuah.

“Pun begitu, rakyat pada masa kini tidak mudah diperbodohkan, dan tidak akan termakan dengan sandiwara UMNO,” ujar kenyataan tersebut.

Pemimpin UMNO bukan maksum

“UMNO jangan bertindak seolah-olah pemimpin mereka adalah maksum dan umpama firaun yang tidak boleh dikritik.

“Kegagalan Perdana Menteri dalam mentadbir negara dan kenyataan beliau mengenai isu “kangkung” menunjukkan bahawa beliau langsung tidak memahami kesusahan rakyat,” kata mereka lagi. – Roketkini.com