Berita

Cuba kaitkan kes guru dipaksa buka tudung, DAP buat laporan polis

KUALA LUMPUR, 20 JANUARI: DAP Johor semalam membuat laporan polis berhubung cubaan jahat seorang blogger yang cuba mengaitkan DAP dengan isu guru mualaf Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Nan Ya, Bukit Tinggi yang dipaksa membuka tudung baru-baru ini.

Artikel blogger bernama Azmy Awang Kelana Jaya itu bertajuk ‘DAP makin kuat di Johor, Islam makin dipijak: Guru mualaf dipaksa buka tudung diterbitkan di laman http://azmyawangklanajaya.blogspot.com 17 Januari lalu.

Setiausaha Politik Ahli Parlimen Gelang Patah, Dyana Sofya Mohd Daud berkata, pihak polis diharap dapat mengambil tindakan secepat mungkin kerana ia memberi kesan buruk kepada masyarakat berbilang kaum di Johor.

“Isi artikel itu tiada kaitan dengan tajuk yang diguna. Ia berniat jahat dan menghasut, serta cuba bangkitkan permusuhan di kalangan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, guru mualaf, Choi Yi Shan, 25, dipaksa membuka tudung oleh Pengerusi Lembaga Pengurusan SJKC Nan Ya, Pang Ah Nganng, 72, jika ingin terus mengajar di sana.

Peristiwa itu mendapat kecaman pelbagai pihak, termasuk DAP yang menggesa Pang meminta maaf segera kepada guru itu.

17 Januari lalu, Pang bersama guru besar, Chiew Swee Tuan memohon maaf secara terbuka kepada Choi di Dewan Terbuka Kampung Johor Lama, Kota Tinggi.

Kata Dyana lagi, laporan itu juga dibuat demi membersihkan DAP yang sering dituduh sebagai dalang perkauman oleh musuh politiknya.

“DAP dan Pakatan Rakyat secara jelas bukan parti berdasarkan kaum, tidak pernah bersikap perkauman dan berjuang untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau mengimbas kembali kes Hajah Halimatusaadiah Bt Kamaruddin lawan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) pada 1994, selepas beliau diberhentikan kerja kerana memakai purdah, dan dianggap melanggar pekeliling yang melarangnya.

“Hajah Halimatussadiah yang menjadi kerani di Perak State Legal Department diberhentikan kerja. Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh yang mewakili beliau dalam kes itu.

“Sudah jelas DAP sentiasa menegakkan hak kebebasan beragama bagi semua rakyat, seiring dengan jaminan dalam Perkara 11, Perlembagaan Persekutuan,” katanya lagi.

Laporan itu dibuat beliau bersama-sama Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching; ADUN Senai, Wong Shu Qi dan Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Johor, Mazlan Aliman.

Bukan cubaan pertama

Dalam pada itu, Teo Nie Ching dalam satu kenyataan berkata, ia bukan kali pertama percubaan menyalahkan DAP dalam isu perkauman di Johor.

“Pertengahan tahun lalu, apabila seorang guru berbangsa Cina mengeluarkan kenyataan berbau perkauman, ‘banner’ bertulis ‘DAP Johor Sokong Cikgu Poh, Melayu Bodoh Pukimak’ digantung di beberapa tempat.

“Jelas, DAP menjadi sasaran mudah UMNO. Taktik sama pasti akan diulang pada masa akan datang untuk mengalihkan perhatian daripada ketidakmampuan UMNO menyelesaikan masalah rakyat, seperti kenaikan harga barang,” katanya lagi. -Roketkini.com