Berita

Kerajaan perlu jelas kenapa harga barang Kedai Rakyat 1Malaysia lebih mahal

KUALA LUMPUR, 20 JANUARI: DAP hari ini menuntut penjelasan kerajaan mengenai harga barangan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di Sabah dijual lebih mahal berbanding di Semenanjung walaupun diberi peruntukan bagi memastikan ia lebih murah.

Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek perlu menjelaskan perkara itu kerana berdasarkan peruntukan KR1M Sabah, ternyata peruntukan penyeragaman harga 40 hingga 50 peratus lebih rendah supaya rakyat dapat berbelanja berdasarkan kemampuan.

Menurutnya, tidak ada sebab mengapa harga mencanak sedangkan kerajaan memberi peruntukan sebanyak RM1.53 juta bagi setiap kedai KR1M Sabah tidak termasuk RM100 juta bagi ‘program penyeragaman harga’.

“Bagaimanapun keadaan sebaliknya berlaku. Jadi satu laporan lengkap perlu dijelaskan mengenai peruntukan bagi setiap KR1M dan mengapa harganya lebih mahal berbanding kedai lain.

“Hassan mesti menyediakan akauntabiliti bagi RM87 juta yang dibelanjakan untuk menubuhkan KR1M dan penerima wang

“Beliau juga perlu menjelaskan bagaimana RM279 juta ‘program penyeragaman harga’ dijalankan dan bagaimana subsidi diedar kepada rakyat. Adakah wang ini diedarkan kepada Mydin untuk menubuhkan kedai dan subsidi kepada negeri?,” soalnya dalam kenyataan.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan itu turut mengingatkan Hassan agar tidak membuat lawak mengenai isu ini dengan mendakwa ia tidak menjadi sebarang masalah kerana tidak ada aduan daripada orang ramai.

“Saya berharap Hassan tidak akan memberitahu bahawa ‘tidak ada siapa pun yang mengadu’ dan ‘rakyat menyokong sepenuhnya’ walhal UMNO Sabah sendiri menentang harga yang dikenakan KR1M.

“Paling penting, Hassan mesti kemukakan walaupun subsisi besar-besaran diberi, mengapa BN masih gagal memenuhi janji kepada rakyat,” ujarnya.

Kerajaan sebelum ini memberi jaminan Sabah dan Sarawak akan mendapat harga barangan keperluan dengan lebih murah dalam Bajet 2013 menerusi pembukaan 57 kedai KR1M dengan purata peruntukan RM1.53 juta setiap kedai.

The Daily Express Sabah baru-baru ini juga melaporkan KR1M di negeri terbabit menjual produk pada harga lebih tinggi daripada harga pasaran berdasarkan kaji selidik Pemuda UMNO Sabah yang diketuai Haji Hafez Yamani Datuk Seri Musa.

“Bajet 2012 memperuntukkan RM87 juta bagi menubuhkan 57 kedai berkenaan dan iaitu kira-kira RM1.53 juta setiap satu kedai. Kami tertanya-tanya mengapa kosnya begitu melampau untuk menubuhkan satu kedai KR1M?

“Sebagai perbandingan, dalam Bajet 2012, RM40 juta diperuntukkan untuk memberi subsidi kepada Mydin supaya dapat menubuhkan 85 kedai KR1M di Semenanjung Malaysia, purata setiap kedai RM471 ribu.

“Ia amat mengejutkan apabila peruntukan RM1.53 juta diberi bagi setiap kedai dan RM279 juta penyeragaman harga di Malaysia Timur, ahli UMNO sendiri mendapati bahawa barangan di KR1M sebenarnya lebih mahal berbanding kedai lain yang tidak diberi subsidi, insentif atau sokongan kerajaan,” tegasnya. -Roketkini.com