Berita

DAP Pulau Pinang tekad laksana model pentadbiran baru lebih cekap berasaskan integriti

GEORGE TOWN, 20 JANUARI: Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang berusaha melepaskan diri daripada perangkap pendapatan sederhana kepada ekonomi berpendapatan tinggi dan melakar sejarah menjadi negeri pertama di Malaysia untuk menghapuskan kemiskinan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam perutusan sambutan Tahun Baru Kuda 2014, Maulidur Rasul, Hari Ponggal dan Thaipusam hari ini juga akan memastikan kesaksamaan ekonomi dengan pembangunan seimbang daripada segi infrastruktur, program ekonomi dan bantuan tunai.

Beliau berkata, bagi Pulau Pinang, Januari adalah bulan yang penuh dengan pengumuman penting sekaligus membuka tirai tahun baru dengan begitu lantang.

“Sebagai kerajaan berjiwa rakyat, sebanyak RM150 juta dibelanjakan dalam lima tahun bagi aspek kebajikan sosial hanya boleh dicapai sekiranya mempunyai dana mencukupi.

“Pengurusan belanjawan yang cekap, bebas rasuah dan berdasarkan prestasi, yang sering dipuji Laporan Ketua Audit Negara sebagai negeri yang paling terurus di Malaysia, mengakibatkan lebihan belanjawan, pengurangan hutang dan peningkatan aset yang diperlukan untuk tujuan itu.

“Semua kejayaan ini tercapai tanpa apa-apa kenaikan harga pada 2014, sama ada cukai tanah, cukai taksiran atau tarif air, sebaliknya, Kerajaan Persekutuan BN telah memulakan penggal baru dengan kenaikan harga petrol, gula, tarif elektrik dan tol lebuhraya bagi 2014,” katanya.

Justeru, menurut Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, bagi mengalihkan perhatian rakyat daripada kenaikan harga berkenaan, UMNO mengapi-apikan sentimen perkauman dan agama.

Katanya, walaupun bangga kerana Pulau Pinang adalah satu-satunya negeri di Malaysia yang tidak menaikkan harga, impak permainan melampau UMNO itu tidak boleh diketepikan.

Sehubungan itu, menurutnya, selain menyokong Lembaga Wakaf Hindu, Kerajaan Negeri juga mencadangkan struktur serupa dalam bentuk Lembaga Wakaf Tokong Cina yang tidak akan campur tangan dalam pengurusan dan pengendalian tokong Cina yang sedia ada.

“Dalam penggal kedua ini kerajaan tidak hanya bergantung kepada simpanan dan penjimatan, tetapi berusaha menjana sumber pendapatan.

“Kerajaan negeri sedang mendaki rantaian nilai daripada pentadbiran berasaskan belanjawan kepada pentadbiran berasaskan hasil, dengan penekanan bukan sahaja terhadap “nilai untuk wang” tetapi keberkesanan mencapai hasrat pembangunan sosial,” ujarnya.

Beliau berkata, walaupun usaha melepaskan diri daripada perangkap pendapatan sederhana adalah lebih sukar, matlamat Pulau Pinang untuk mencatat rekod sejarah buat kali kedua dan menjadi negeri berpendapatan tinggi pertama di Malaysia adalah bergantung kepada usaha menjadikan Pulau Pinang sebagai lokasi pilihan bagi pembuatan termaju (advanced manufacuturing) dan sektor perkhidmatan, destinasi pilihan pelancong serta habitat pilihan bagi modal insan yang menginginkan kehidupan lestari.

Katanya, faktor kejayaan yang kritikal bagi Pulau Pinang adalah pembangunan dan usaha menarik modal insan, ekosistem pendidikan bermutu tinggi daripada sekolah rendah hingga pengajian tinggi, perkhidmatan penjagaan kesihatan yang boleh dipercayai serta pusat hiburan, seni, budaya, warisan yang dinamik akan membolehkan modal insan yang terbaik untuk hidup, belajar, kerja dan berhibur.

“Kami sudah mencapai kejayaan awal dengan kedatangan syarikat pembuatan termaju dan sektor perkhidmatan. Pulau Pinang merupakan No.1 di Malaysia dari segi pelaburan antara 2010 dan Ogos 2013.

“Citigroup, Air Asia dan Wilmar (gergasi minyak makan yang bernilai US$45 bilion) sudah melabur dalam sektor perkhidmatan di Pulau Pinang. Dari segi pelancongan, sekarang mempunyai dua taman tema iaitu Taman Tema Escape dan Taman Tema Air WWW di Batu Ferringhi.

“Setelah sekian lama menanti, kami juga akhirnya berjaya menarik IKEA ke Batu Kawan, iaitu Kedai IKEA pertama di luar Kuala Lumpur. Kedai pereka premium yang kedua di Malaysia selepas Johor juga akan bertapak di Batu Kawan. Batu Kawan juga akan menjadi tuan rumah kepada universiti seperti KDU dan Hull yang akan menawarkan kursus dalam undang-undang, kejuruteraan, logistik, pengajian perniagaan dan perakaunan,” katanya.

Guan Eng berkata, pesta dan acara di negeri ini sama ada Festival Warisan George Town, Tropfest (pesta tayangan singkat No.1 dunia), Festival Jazz Antarabangsa Pulau Pinang serta seni jalanan Ernest Zacharevic adalah terkenal di seluruh dunia.

Katanya, kebebasan yang diberi kepada bakat seni, sama ada tempatan atau luar negara menjadikan George Town sebagai “ibu kota seni Bohemia” di Malaysia.

“Pulau Pinang juga pertama kali dalam sejarah akan menganjurkan Kejohanan Skuasy Wanita Sedunia, Mac ini selain menyokong Ratu Squasy Dunia, Datuk Nicol David untuk mencatat sejarah memenangi kejohanan itu buat kali ke-8

“Pulau Pinang juga dipilih akhbar Guardian dari United Kingdom sebagai destinasi pelancongan ke-8 terbaik dunia dan satu-satunya dari Asia Tenggara. Pulau Pinang dan Kuala Lumpur juga merupakan lokasi persaraan yang ke-3 terbaik di dunia,” tambahnya.

Guan Eng berkata, kerajaan negeri juga harus berusaha lebih gigih untuk menjadikan Pulau Pinang lebih bersih, hijau, selamat dan sihat bagi menarik modal insan.

Katanya, semua ini bergantung kepada semangat pasukan yang kuat, dedikasi, perpaduan, disiplin dan berprinsip di kalangan pemimpin dan ahli DAP.

“Kita juga harus berhati-hati dan menangkis usaha berterusan musuh yang ingin menghancurkan kepimpinan DAP Pulau Pinang dengan melemahkan semangat pasukan, prinsip, halatuju serta perpaduan parti.

“Musuh tidak akan berputus asa kerana hadiah yang dipertaruhkan adalah Pulau Pinang dan mereka akan melakukan apa sahaja demi mengambil balik khazanah ini.

Menurut beliau, selama 50 tahun pemimpin DAP membina budaya integriti, berprinsip serta kesanggupan mengorban diri bagi kepentingan awam.

“DAP Pulau Pinang dan Pengerusi Negeri, Sdr Chow Kon Yeow akan membawa kita semua ke peringkat seterusnya dan membuktikan kita bukan sahaja pembangkang yang cekap tetapi kerajaan yang lebih baik,” katanya.-Roketkini.com