Berita

Penduduk bantah PIPC, musnahkan kawasan sejarah

PENGERANG, 20 JANUARI: Tindakan Petronas yang merancang melaksana Kompleks Bersepadu Petroleum Pengerang (PIPC) mendapat bantahan hebat penduduk setempat.

Kebanyakkan penduduk menegaskan projek itu bukan sahaja mengakibatkan kehilangan mata pencarian dan tempat tinggal yang didiami sejak sekian lama, malah merosakkan alam semula jadi dan mencetuskan pelbagai masalah terutamanya pemindahan kubur bersejarah

Penduduk, Ah Chai

Seorang penduduk, Ah Chai (kiri) menegaskan, pemindahan lima tapak perkuburan bersejarah membabitkan lebih daripada tiga ribu kubur bukan Islam kini menjadi satu permasalahan besar kerana Petronas gagal menyediakan pelan pembangunan konkrit yang tidak mengganggunya.

“Mengapa Petronas dengan segala sumber dan kepakaran tidak menyedikan pelan pembangunan projek yang tidak mengganggu kawasan perkuburan Cina di sini? Jika arkitek Petronas tidak mampu, kami sanggup mengupah pakar untuk menyediakan pelan sesuai.

“Kami mahu pembangunan dan setuju dengannya, tetapi ia tidak boleh gadai atau rosakkan alam semulajadi, ekonomi tempatan serta warisan budaya setempat. Masyarakat di sini hidup serta bermastautin sejak puluhan tahun lalu, tetapi terpaksa mengorbankan kehidupan atas sebab pembangunan, ini amat menyedihkan,” katanya.

Koordinator NGO Pengerang, Zaaba Abdul Samad (kanan) pula mempertikai tindakan kerajaan negeri Johor yang gagal membuat keputusan membela nasib rakyat khususnya isu pemindahan itu.

Zaaba“Menteri Besar Johor, Datuk Mohamad Khaled Nordin seolah-olah lepas tangan dengan memulangkan kembali keputusan berkaitan notis pemindahan kubur Cina kepada pegawai daerah, tindakan beliau nyata tidak mengambil kira situasi kaum Tionghua yang hampir menyambut tahun baru, ini sangat tidak bertanggungjawab,” ujarnya.

Hasil kajian usahama Gabungan NGO Pengerang dan Pakatan Rakyat (PR) mulai pertengahan 2012 juga menunjukkan terdapat sejumlah kubur di sana yang berusia lebih 400 tahun.

PR Johor semalam mengadakan lawatan kerja susulan ke Pengerang untuk melihat tapak perkuburan terbabit dan mendengar sendiri luahan penduduk.

Lawatan itu diketuai Ahli Parlimen DAP Kluang, Liew Chin Tong; Ahli Jawatankuasa Pemuda DAP Kebangsaan, Mahdzir Ibrahim, Pesuruhjaya PAS Johor, Aminolhuda Hassan, Timbalan Setiausaha Agung PKR, Steven Choong dan beberapa tempatan.

Dalam kenyataan bersama, PR Johor juga mencadangkan Kerajaan Negeri dan Persekutuan mengkaji semula pelaksanaan PIPC dan menghentikan skala projek itu.
Menurut mereka, kerajaan mempertimbangkannya berdasarkan pulangan ekonomi keseluruhan, meliputi sosio-ekonomi setempat, sosio-budaya, kesihatan penduduk, keselamatan dan implikasi alam semulajadi.

“Kami juga berharap kerajaan dapat melaksanakan dasar pembangunan yang mampan berdasarkan keunikan tempatan tanpa mengorbankan keindahan warisan budaya dan alam semulajadi.

“Kerajaan perlu menghormati dan mementingkan pendapat serta hasrat penduduk setempat sebelum sesuatu projek pembangunan dijalankan bagi memastikan sebarang pembangunan memberi manfaat kepada mereka.

“Segala kerja pemindahan tapak perkuburan harus ditangguhkan sehingga kedua-dua pihak iaitu penduduk dan kerajaan mencapai persetujuan serta penyelesaian yang dapat diterima semua pihak,” tegas mereka. -Roketkini.com