Berita

Mungkin ada ‘tangan ghaib’ halang Anwar ke Jepun – Karpal Singh

KUALA LUMPUR, 20 JANUARI: Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh tidak menolak kemungkinan ada ‘tangan ghaib’ yang berperanan menyebabkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim disekat daripada memasuki Jepun, semalam.

Anwar yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita kira-kira jam 6.45 pagi semalam dihalang memasuki negara matahari terbit itu atas alasan hukuman yang diterimanya pada 1999 lalu.

Karpal berkata, Ketua Pembangkang itu sebelum ini tiada masalah memasuki Jepun iaitu pada 2006, 2009 dan 2012.

“Tidak mungkin pihak berkuasa Jepun tidak tahu mengenai hukuman pada 1999 itu…Seperti ada ‘tangan ghaib” dalam proses menafikan Anwar memasuki negara itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Bukti Gelugur itu terkejut dengan berita itu dan menggesa pihak berkuasa memberikan sebab yang jelas di atas tindakan mereka.

“Hal ini jelas memberi tanggapan buruk kepada Kementerian Luar Negara Jepun. Halangan itu adalah tindakan tidak bijak dan perlu ditarik balik. Lagi cepat (ditarik balik) lagi bagus,” katanya.

Anwar yang berkunjung ke sana atas jemputan Pengerusi Yayasan Nippon, Tan Sri Yohei Sasakawa diminta mengambil penerbangan pertama untuk pulang ke Malaysia.

Memetik laman the Malaysian Insider, Pengerusi Biro Peguam dan Hak Asasi Manusia, Latheefa Koya berkata, pihak berkuasa Jepun memaklumkan sebab halangan itu adalah berikutan ada laporan baru dibuat terhadap Anwar pada 2013.

Justeru, Latheefa mendesak kerajaan agar menjernihkan kembali keadaan dengan menarik balik laporan itu.-Roketkini.com