Berita

Lip Eng gesa Kementerian Wilayah batal tutup pasar malam TTDI

KUALA LUMPUR, 21 JANUARI: Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng menggesa Kementerian Wilayah Persekutuan membatalkan keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup pasar malam Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

DBKL sebelum ini memutuskan menutup pasar malam itu mulai 26 Januari ini kerana alasan kebersihan dan mengganggu lalu lintas.

“Saya desak (Kementerian Wilayah Persekutuan) membatalkan notis penutupan pasar malam TTDI,” katanya di laman facebook rasminya.

Semalam, beliau menghantar surat kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor berhubung perkara itu.

“Sila ambil perhatian bahawa penutupan pasar malam itu oleh DBKL dibuat tanpa meminta pandangan Persatuan Penduduk TTDI.

“Oleh itu, saya mohon notis penutupan pasar malam itu dibatalkan dan satu dialog diadakan secepat mungkin dengan semua pihak yang berkenaan terutamanya Persatuan Penduduk TTDI,” katanya dalam surat itu.

Notis penutupan yang mula disebarkan di internet itu mencetuskan rasa tidak puas hati orang ramai, terutama kerana ia sudah beroperasi sejak puluhan tahun lalu serta tidak mengambil kira pandangan penduduk.

Memetik laporan The Star, Setiausaha Persatuan Penduduk TTDI, Margaret Lee berkata, pasar malam itu sudah beroperasi sejak 30 tahun lalu dan menjadi sebahagian daripada kemudahan penduduk di situ.

“Pasar malam itu sudah ada sejak lebih 30 tahun lalu dan penutupannya akan memberi kesan kepada penduduk serta punca pendapatan peniaga,” katanya.-Roketkini.com