Berita

Hannah Yeoh cadang ruangan kaum dalam MyKad dihapus untuk pupuk jalinan kebersamaan

PUTRAJAYA, 21 JANUARI: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Hannah Yeoh Tseow Suan mencadangkan agar bangsa bagi rakyat Malaysia tidak dinyatakan dalam kad pengenalan (MyKad).

Katanya, sebagai wakil rakyat, beliau tidak perlu mengetahui bangsa seseorang untuk membantu individu itu menyelesaikan masalahnya.

“Tidak ada orang halang kalau anda memilih untuk menjadi Melayu tapi ia tidak perlu ada dalam MyKad.

“Sebagai wakil rakyat, saya tidak mahu tahu bangsa anda. Saya hanya mahu tahu apa yang anda tahu untuk bantu sesebuah kawasan itu,” katanya menjawab soalan seorang wakil peserta Forum Perpaduan dan Masa Depan Negara, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Subang Jaya itu turut menyatakan, dalam memberi bantuan kepada rakyat, bangsa bukan soal yang perlu dititikberatkan terutama ketika mengisi borang bantuan.

“Borang itu agak keterlaluan dan perlu dihapuskan untuk memupuk perpaduan di kalangan rakyat. Tidak penting bangsa anda apa yang penting kami tetap bantu.

“Apa yang lebih penting dalam borang itu adalah saya dapat tahu lebih lanjut masalah anda,” ujarnya.

Pada forum yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif Gerakan Kesederhanaan Global (GMM), Datuk Saifuddin Abdullah turut menyokong saranan Hannah Yeoh.

Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata, ia adalah satu langkah mudah yang boleh dilaksanakan bagi memupuk semangat ‘kebersamaan’ sesama rakyat sekaligus merapatkan jurang antara kaum.

“Kita kena ada satu langkah permulaan, antaranya membuang ruangan ‘kaum’ dalam borang kerajaan.

“Melalui langkah ini, saya rasa semua rakyat akan berasa mereka adalah ‘Malaysia’ kerana tidak dikelompokkan sebagai mana-mana kaum,” katanya.

Forum yang dikendalikan Pensyarah Politik, Profesor Dr Jayum Jawan itu turut dihadiri Setiausaha Agung Proham, Datuk Dr Denison. -Roketkini.com