Berita

Setuju, tidak harus tunduk kepada ugutan keganasan – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 22 JANUARI: Mana-mana pihak tidak seharusnya tunduk dan memohon maaf kepada ugutan dan sebarang bentuk keganasan, kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Beliau merujuk kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri Machang Bubuk, Lee Khai Loon yang tidak setuju untuk memohon maaf berhubung flash mob ‘kangkung’nya 15 Januari lalu.

Kit Siang berkata, saranan beliau semalam bukanlah untuk Lee memohon maaf kepada ugutan UMNO Pulau Pinang.

“Ketika saya sarankan agar Lee timbangkan permohonan maaf atas insiden dalam ‘flash mob’ itu yang boleh dianggap tidak menghormati jawatan Perdana Menteri, saya tidak bermaksud beliau perlu minta maaf kepada samseng, kerana saya setuju bahawa kita tidak harus tunduk pada ugutan dan keganasan.

“Sememangnya sebahagian merasakan ada batas yang tidak harus dilangkah, antaranya menghormati jawatan Perdana Menteri, Ketua Pembangkang, Menteri Besar…agar wacana politik dapat berlangsung secara beradab,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau bagaimanapun menerima secara terbuka keputusan Lee menolak saranannya itu.

Sebagai reaksi kepada ‘flash mob’ itu, ratusan ahli Umno berhimpun di Seberang Jaya, Pulau Pinang 18 Januari lalu dan membawa sepanduk mengancam pengulangan tragedi 13 Mei jika isu ‘kangkung’ terus dibangkitkan.

Antara sepanduk yang dibawa ialah ‘DAP musuh Islam’ dan ‘Kerana mulut pemimpin DAP berlakunya 13 Mei 1969, adakah anda mahu lagi?’.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Gelang Patah itu sekali lagi menggesa agar kerajaan bertegas kepada pihak yang cuba mengapi-apikan semangat perkauman, serta mengajak mereka bekerjasama dengan Pakatan Rakyat untuk memastikan perbalahan kaum seperti insiden 13 Mei tidak berulang.

“Antara contoh hasutan yang bahaya boleh dilihat pada tunjuk perasaan Umno Pulau Pinang sebagai respon kepada ‘flash mob’ Lee. Mereka gambarkan ia sebagai serangan Cina terhadap Perdana Menteri Melayu – gambaran yang menyimpang daripada kebenaran.

“Ancaman ‘13 Mei’ muncul untuk hasut orang ramai dengan gunakan isu yang tiada kaitan dengan kaum, sebaliknya rasa tidak senang rakyat semua kaum dengan sikap tidak peduli kerajaan terhadap penderitaan mereka ekoran kenaikan harga barang,” katanya yang turut menyifatkan ia sebagai tidak bertanggungjawab dan boleh dianggap sebagai jenayah.

Maka, katanya lagi, kerajaan perlu memperkatakan soal kempen terancang pihak yang tidak bertanggungjawab itu untuk mengapi-apikan semangat perkauman.

“Apakah Kabinet hari ini sedia ambil pendirian tegas menghentikan perbuatan itu? Lebih khusus, apakah pemimpin BN sedia bekerjasama dengan Pakatan dengan mengadakan Sidang Kemuncak Kepimpinan untuk pastikan insiden 13 Mei tidak berulang, serta mencapai kata sepakat tentang krisis yang dihadapi negara?” katanya lagi. -Roketkini.com