Berita

Dasar Automotif Nasional 2014 kabur, bercanggah dengan dasar lain – Steven Sim

KUALA LUMPUR, 23 JANUARI: Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong menganggap Dasar Automotif Nasional (NAP) 2014 yang diumumkan kerajaan baru-baru ini kabur dan bercanggah dengan beberapa dasar lain.

NAP 2014 diumumkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapha Mohamed di Institut Automotif Malaysia, di sini, Isnin lalu.

“NAP 2014 seolah-olah berpotensi menjadi jadi satu-satunya berita baik tahun ‘Barang Naik’ ini, sehingga ia diumumkan minggu lalu,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kenyataan itu, beliau turut menggariskan beberapa percanggahan NAP 2014 dengan dasar lain kerajaan.

Katanya, NAP 2014 bertentangan manifesto BN pada PRU-13 lalu untuk mengurangkan harga kereta sehingga 30 peratus.

“Tiada strategi jelas melainkan retorik tentang liberalisasi pasaran untuk tingkatkan persaingan harga. Kerajaan juga dengan jelas mengatakan duti eksais (65-105 peratus) yang beri kerajaan kira-kira RM7.3 bilion tahun lalu tidak akan dimansuhkan.

“Duti eksais yang tinggi dan pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang memberi kesan kepada setiap lapisan dalam industri dan turut dikenakan kepada kereta terpakai menjadi sebab BN tidak akan dapat menunaikan janji PRU-13 itu,” katanya.

Katanya, NAP 2014 juga secara langsung bercanggah dengan NAP 2009 yang mensasarkan pemansuhan sistem permit import (AP) pada 2015.

Beliau mempertikaikan mengapa pemansuhan sistem AP yang jelas hanya membantu segelintir kroni ditangguhkan serta apa terjadi kepada dana yang kononnya untuk memperkasakan Bumiputera dalam industri automotif seperti yang digariskan dalam NAP 2009.

Mustapha sebelum ini menyatakan sistem AP kekal sehingga satu kajian mendalam dilakukan bagi menilai kesan penamatan sistem itu kepada Bumiputera.

Percanggahan lain yang dinyatakan Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP itu termasuk berhubung dasar pengangkutan awam dan kenderaan tenaga efisien (efficient energy vehicle – EEV)

Katanya, sasaran penambahan jumlah pengeluaran kenderaan daripada 650,000 unit kepada sejuta pada 2020 bermaksud penambahan jumlah kenderaan di jalan raya, sekali gus bertentangan dengan dasar kerajaan untuk mempromosikan penggunaan pengangkutan awam di bawah insiatif Pelan Induk Nasional Pengangkutan Awam Darat.

“Berhubung EEV, persoalan masih kekal tentang siapa yang akan berikan autoriti, apa insentif sebenar serta bagaimana ia diberikan untuk EEV. Berbanding NAP terdahulu, dokumen kali ini kekurangan maklumat penting, menunjukkan kurangnya kesungguhan kerajaan,” katanya. -Roketkini.com