Berita

“Saya tidak campur urusan dalaman PKR” – Guan Eng

GEORGE TOWN, 23 JANUARI: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah memaklumkan mengenai status terbaru Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor, sebagaimana disiarkan akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily.

Justeru itu, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP menganggap laporan akhbar itu adalah palsu.

“Saya (bercakap) telefon banyak kali, tetapi tidak pernah Datuk Seri Anwar menyebut seperti apa yang dilaporkan itu sama sekali. Itu laporan palsu.

“Saya pun tidak tahu mengapa saya sendiri diheret masuk dalam satu keputusan yang dibuat PKR. Saya tidak masuk campur dalam urusan dalaman PKR,” ujarnya pada sidang media di Komtar, di sini, tengahari tadi.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd Rashid Hasnon, Prof P Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II) dan Jagdeep Singh Deo (Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan), hadir sama pada sidang media itu.

Sebelum itu, Mohd Rashid mewakili PKR turut mendakwa laporan Sin Chew Daily itu adalah tidak tepat.

“Saya sendiri berada dalam mesyuarat itu dan tahu apa yang berlaku. Rumusannya ialah ia tidak ada keputusan (sebagaimana dilaporkan Sin Chew Daily).

“Sememangnya kita menyerahkan kepada kebijaksanaan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Penasihat PKR) sendiri untuk menangani isu ini,” jelas beliau, sekaligus menjernihkan salah faham khalayak terhadap peribadi Guan Eng.

Akhbar Sin Chew Daily antara lain melaporkan Anwar bertemu Guan Eng serta memaklumkan bahawa PKR membuat keputusan untuk menukar Menteri Besar Selangor. – Roketkini.com