Berita

Cadangan bekas menteri bawa masuk semula Dr Mahathir, bukti kepimpinan Najib lemah

KUALA LUMPUR, 24 JANUARI: Cadangan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin supaya membawa kembali Tun Dr Mahathir Mohamad ke Putrajaya adalah satu lagi bukti betapa lemahnya pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Parlimen DAP Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz berkata, ia membuktikan Najib langsung tidak mempunyai kredibiliti kepimpinan dan selama ini hanya bergantung pada nama bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

“Maksud cadangan itu jelas menunjukkan Najib tidak ada guna. Soalnya mengapa Mahathir?

“Dengan menggunakan alasan membawa kembali Mahathir supaya dapat memimpin tangan Najib dan menjadi mentor kepadanya, ini menimbulkan persoalan apakah Najib ‘baru pandai berjalan’?

“UMNO diterajui beliau jelas bercelaru sekali, jadi benarlah kata seorang mantan Menteri Kewangan bahawa Najib tidak memiliki kemampuan untuk mentadbir negara. Apa yang berjaya diperoleh hanya menjadi anak Tun Razak, itu saja,” katanya.

Menurut Mohd Ariff Sabri, cadangan Zainuddin itu turut mengesahkan bahawa Najib tidak mengutip sebarang pengalaman sepanjang proses ‘mentoring and apprenticeship’ di dalam UMNO sejak 1976.

“Terbukti Najib ialah seorang pemimpin dungu. Jadi menteri sejak 1976, 2009 menjadi Perdana Menteri. Ertinya sudah dimentorkan selama 32 tahun, apa yang dilakukan?

“Ramai pemimpin yang boleh dipelajari cara kepimpinannya waktu itu, kecuali beliau tidur atau terlalu sibuk dengan ‘extra mural activities’ lain atau dipilih hanya kerana rakyat dirundung kesedihan akibat takut baka Tun Razak tidak ada di Pekan.

“Malaysia menuai apa yang ditanam. Kita telah tanam pokok mangga jantan yang tidak boleh menghasilkan buah,” ujarnya.

Beliau dengan sinis turut mencadangkan pimpinan UMNO membuat laporan polis terhadap Zainuddin atau lebih dikenali dengan panggilan Zam kerana mengemukakan cadangan yang amat menghina Najib.

“Buat masa ini, saya kira amat baik jika gerombolan ‘God-King and Country’ membuat laporan polis ke atas Zainuddin kerana cadanganya yang ternyata mencela dan menghina Najib. Tunggu apa lagi?,” ujarnya.

Portal The Malaysian Insider minggu lalu melaporkan saranan Zainuddin agar Najib membawa semula Mahathir dan menjadikannya sebagai mentor seperti Singapura mengambil Lee Kuan Yew supaya dapat kembali berkuasa serta berpengaruh.

Antara lain dalam cadangannya itu adalah menggesa kerajaan membuat keputusan segera supaya Mahathir diberi kedudukan khas agar dapat memberi sokongan moral kepada Najib.-Roketkini.com