Berita

DAP janji bawa kemajuan di Sabah dan Sarawak jika diberi mandat memerintah – Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR, 27 JANUARI: DAP dan Pakatan Rakyat (PR) pastinya akan membawa perubahan di Sabah dan Sarawak yang tidak dilaksanakan Barisan Nasional (BN) selama 50 tahun memerintah negeri berkenaan jika diberi mandat.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam kutipan dana serta penghargaan kepada sukarelawan ‘Impian Sabah’ dan ‘Impian Sarawak’ di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya, Sabtu lalu.

Beliau berkata, DAP tidak boleh mensia-siakan usaha sukarelawan yang merintis jalan perhubungan dengan penduduk di sana, khususnya di kawasan pedalaman.

“Bekalan air dan elektrik adalah antara satu daripada banyak masalah penduduk di Sabah dan Sarawak.

“Ketika kita tiada kuasa pun, kita merentas Laut China Selatan untuk menyediakannya (di pedalaman) yang gagal disediakan kerajaan BN lebih 50 tahun lalu, bayangkan apa yang kita boleh lakukan jika memerintah nanti.

“Jika kita dapat mengikuti jalan yang dimulakan mereka, saya pasti apabila kita mentadbir Sabah, Sarawak dan Putrajaya, kita akan gegarkan Sabah dan Sarawak, yang tidak pernah disaksikan sebelum ini,” katanya diiringi tepukan hadirin.

Impian Sarawak yang dilancarkan September lalu dan Impian Sabah dua bulan kemudian adalah usaha DAP membantu penduduk pedalaman negeri berkenaan menikmati kemudahan asas yang selama ini dinafikan kerajaan BN.

Ia adalah hasil usaha penuh sukarelawan. Antara projek yang sudah dijayakan adalah projek paip air graviti di Kampung Sait Muk-Ayun, Kuching dan Kampung Samparita Laut di Kota Marudu.

Dalam program ini, sukarelawan yang terdiri daripada segenap lapisan masyarakat menggunakan wang mereka sendiri dan menghabiskan masa kira-kira dua minggu di sana.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Pulau Pinang itu terharu dengan pengorbanan sukarelawan.

“Saya begitu tersentuh dengan contoh yang ditunjukkan mereka, buka sekadar mengeluarkan wang, namun meletakkan diri dalam situasi yang tidak selesa hanya untuk membantu orang yang mereka tidak kenal.

“Ia berikan kita harapan untuk hari esok, harapan untuk masa depan yang lebih baik, harapan bahawa Malaysia sememangnya boleh jadi lebih baik.

“Malam ini, ‘pahlawan Ubah’ telah memalukan kerajaan BN (yang gagal memerintah dengan baik). Saya tabik kepada anda semua,” katanya lagi.

Turut hadir adalah Naib Pengerusi Kebangsaan, Teresa Kok; Setiausaha Publisiti Kebangsaan, Tony Pua, Pengerusi DAP Sabah, Edwin Bosi dan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chien Jen serta sukarelawan terbabit. -Roketkini.com