Rencana

Bagaimana mitos tentang DAP bermula? (Bahagian Akhir) – Mahdzir Ibrahim

SELEPAS terbentuknya DKK, lahirlah Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang mula diperkenalkan pada 1971. Ini menjadi kebetulan, barangkali.

DEB ini dikatakan bermatlamat serampang dua mata iaitu untuk membasmi kemiskinan dan kedua menstrukturkan semula kedudukan masyarakat, khususnya kaum Melayu pada ketika itu.

Kita memahami bahawa faktor utama DEB dibentuk adalah kerana kaum Melayu sebagai kaum majoriti tetapi termundur dari aspek ekonomi dan pendidikan. Maka secara lojiknya, memang wajar sekali kerajaan membentuk dan melaksana dasar afirmatif tersebut, malah DAP sendiri tidak membantah sebaliknya bersetuju secara prinsip dan atas faktor sejarah atau latarbelakang permasalahn ekonomi dan sosial ketika itu.

Selain daripada itu, dasar afirmatif ini bukanlah dasar yang bersifat kekal sebaliknya ia adalah bersifat sementara sebagai satu suntikan untuk memandu golongan Melayu atau Bumiputera yang tercicir dalam pembangunan ekonomi sehingga mereka mampu bersaing sepertimana bangsa-bangsa lain.

Justeru, apa yang tidak kenanya dengan DEB bagi DAP? Dan apa pula bezanya DEB dengan dasar Sosial Demokrasi DAP?

Bagaimana DEB menyimpang

Niat murni DEB oleh kerajaan UMNO Perikatan (dahulunya), kini lama-kelamaan dilihat menyimpang dari matlamatnya. Penyimpangan ini berlaku dalam aspek perlaksanaan. Pada asalnya, DEB tidak menyasarkan apa-apa jua angka atau jumlah sasaran ekuiti.

Tetapi selepas itu, elit UMNO meletakan sasaran tiga puluh peratus ekuiti kaum bumiputera yang dilihat oleh parti pembangkang khususnya DAP sebagai tanda kewujudan niat lain daripada niat yang asal.

Sasaran angka ekuiti ini dilihat sebagai satu langkah politik untuk memonopoli sumber-sumber ekonomi yang akan menyumbang kepada manipulasi proses perlaksanaan DEB. Dan jelas, ia benar-benar berlaku semasa zaman Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Atas alasan DEB ini Tun M menjustifikasikan dasar penswastaan beliau. Dasar menswastakan aset-aset negara ini dijalankan atas kehendak untuk mencapai tiga puluh peratus ekuiti bumiputera tersebut. Dari dasar penswastaan inilah wujud orang-orang kaya yang terpilih (kroni).

Dari dasar inilah, dasar-dasar monopoli wujud, dan dari dasar-dasar inilah membiaknya kegiatan rasuah ketirisan dan salahguna kuasa. Semua ini atas nama DEB dan ia tidak boleh dicabar oleh sesiapa hatta mana-mana pihak.

Jangan lupa dengan adanya dokemen DKK. Senario ini berlaku ditengah-tengah berjalannya hagemoni perkauman yang diinspirasikan dari DKK itu juga.

Apabila pembangkang khususnya DAP mempersoal proses atau mekanisme perlaksanaan DEB (bukan matlamat asalnya), maka DAP dituduh sebagai tidak menghayati tujuan murni DEB dan tidak menghormati semangat DKK yang telah dimeterai, dan cop seterusnya, DAP dianggap sebagai menentang ‘Ketuanan Melayu’, yakni musuh orang Melayu secara pukal.

Inilah antara punca awal dan faktor penting bagaimana wujudnya mitos DAP anti Melayu, DAP tolak sistem beraja, DAP tolak DEB, tolak Islam, DAP komunis, DAP ejen Singpura dan segala bagai lagi.

Dasar hagemoni

DKK melahirkan hagemoni kaum, dan DEB adalah dasar dari hagemoni kaum yang telah dikristalkan menjadi pelan ekonomi dan sosial yang digarap secara sistematik dalam pentadbiran kerajaan. Dalam maksud lain, amalan rasuah dan salahguna kuasa berjalan secara ‘sah’ dan membudaya dalam kerangka kuasa elit politik UMNO BN.

Selepas era 1990an. DEB dicanang sebagai telah tamat tempoh (expired) dan ia diganti dengan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) oleh Tun Mahathir.

Itu diatas kertas, namun dilapangan pentadbiran dan amalan politik, dasar hagemoni ini berterusan dan ia dilindungi oleh pelbagai akta-akta yang karut baik dalam konteks kebebasan bersuara, kebebasan akhbar, akta penyiaran dan bermacam-macam lagi, semua kekangan ini adalah demi memastikan hagemoni kuasa elit UMNO BN tidak dicabar dan suara-suara yang mempertikaikannya, dikunci.

DAP mempersoal perlaksanaan DEB kerana ia menjadi punca berlakunya ketirisan, maka DAP dianggap sebagai anti Melayu dsb hingga DAP menerima pelbagai kecaman dan ancaman.

Tapi, bila MCA mempersoalkannya, tidak pula dilabel sebagai anti Melayu sedangkan secara terang-terangan parti ini parti yang memperjuangkan kroni dikalangan Cina sahaja, malah apabila UMNO menentang raja pada suatu ketika dahulu, tidak bula dilabel sebagai menderhaka. Inilah yang dikatakan sebagai dasar hagemoni.

Retorika DEB

Disebalik semua fakta-fakta bernombor yang diberikan, baik dari statistik Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hinggalah ke Foreign Direct Investor (FDI) yang menggebu-gebu dicanangkan oleh media ampu dan dalam retorik ucapan elit politik UMNO.

Hakikatnya kekuatan ekonomi orang Melayu/Bumiputera, samada dalam bidang perniagaan persendirian, hartanah termasuk aset-aset simpanan persendirian baik didalam bank atau duit-duit yang disimpan dibawah tilam atau gobok di rumah, menjadi persoalan yang lebih penting dan besar, sebaliknya tidak pula diheboh-hebohkan.

Dalam bidang pendidikan pula, puluhan ribu graduan dihasilkan setiap tahun dan ribuan pelajar mendapat kelulusan penuh A. Tetapi adakah mereka ini semua benar-benar mampu bersaing dan mendapat tempat dalam industri pekerjaan berkemahiran tinggi? Adakah semua mereka ini berbudaya tinggi? Atau sekadar untuk memenuhi kuota industri pendidikan yang berjumlah berbillion ringgit itu?

Tujuan sebenar politik DAP

DAP tidak pernah mempertikaikan niat dan matlamat asal DEB untuk bantu kaum Melayu/Bumiputera yang miskin dan hidup susah apatah lagi untuk menghalangnya. Parti politik nak halang usaha untuk bantu orang miskin buat apa? Jika benar, DAP memang bodoh.

DAP parti politik pelbagai kaum. Sebagai parti politik, sudah tentu DAP mahu memerintah bersama Pakatan Rakyat, PAS dan PKR, bermakna DAP mahukan kuasa.

Jadi, memang DAP mahu undi dan sokongan kaum Melayu/Bumiputera. Dan ini tidak salah dan tidak berdosa dari segi undang-undang mahupun etika politik. Maka itu, DAP perlulah bekerja untuk membantu kaum ini, mengapa pula mahu menghalangnya (DEB)?

Jika lojik ini pun kita tak mampu berfikir, maka putus sudah bicara kita.

Beza dasar hagemoni dengan dasar sosial demokrasi

Dasar Sosial Demokrasi ini bersifat sejagat dan beraliran sederhana.

Kerajaan Sosial Demokrasi menjadi pengadil (referee) dalam aspek perniagaan, untuk pastikan urusniaga sah, telus dan adil termasuk menjaga hak-hak pengguna atau konsumer, dan pekerja tidak terabai.

Tetapi amalan kerajaan UMNO lain macam, mereka bukan menjadi referee tetapi tumpang sekaki. Contoh umum, beli tanah rakyat murah, jual kembali kepada pemaju berlipat kali ganda.

Kerajaan Sosial Demokrasi menjadi fasilitator dalam bidang ekonomi bagi memastikan dasar seimbang, adil dan mapan, disamping aktiviti ekonomi dan pembangunan lancar tanpa mengabaikan persekitaran dan alam semulajadi.

Amalan UMNO lagi lain, buat akta penswastaan untuk absahkan monopoli ekonomi. Contoh, projek industri automobil, beras, projek Janakuasa, pelabuhan yang juga beri impak alam sekitar yang teruk.

Bersolidariti dengan pihak-pihak yang memerlukan dukungan baik dalam bidang budaya dan sosial. Memastikan keluhuran adat dan agama daripada menjadi alat pihak pelampau memecah belahkan perpaduan rakyat.

Amalan UMNO – sokong NGO Perkasa dan Jati.

Prinsip-prinsip asas ini bukan sekadar teori tetapi telah dilaksana diperingkat pentadbiran kerajaan negeri seperti di Pulau Pinang termasuk di Selangor. Nilai-nilai akuantabiliti, transparensi dan solidariti telah jelas dijalankan dengan jayanya.

Bukan seperti kerajaan UMNO BN, berjaya menjadi kerajaan minoriti yang memerintah atas hagemoni perkauman dengan empat puluh tujuh peratus sokongan sahaja. Dulu UMNO diperjuangkan oleh penulis berjiwa besar dan guru-guru, pendidik anak bangsa. Kini UMNO diperjuangkan oleh kontraktor kelas kroni dan contract junkies.

Dari era 60/70an, DKK kepada DEB, darinya muncul Rancangan Malaysia, dasar Pensyarikatan Malaysia, Dasar Penswastaan, Dasar Pandang Ke Timur diera 80/90an, hinggalah ke era Economy Transformation Programme (ETP), Government Transformation Proggrame (GTP) dan kini Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang mana kesemuanya ini adalah warisan dari dasar hagemoni.

Semua dasar-dasar ini mewariskan amalan korupsi dan salahguna kuasa. Maka itu, tiada sebab untuk DAP menyokongnya. Dan mitos-mitos tentang DAP, terungkai sudah.

Penulis adalah Ahli Jawatankuasa Pemuda DAP Pusat (DAPSY Kebangsaan), juga seorang pendukung seni dan kebudayaan. – Roketkini.com