Berita

Pulau Pinang ‘diserang’, gantung sepanduk bakar sentimen kaum dan agama

GEORGE TOWN, 27 JANUARI: Pulau Pinang nampaknya sedang giat diserang pihak tidak bertanggungjawab bagi membangkitkan sentimen perkauman dan kebencian agama.

Terbaru, serangan ini membabitkan kain rentang yang digantung di luar beberapa gereja sekitar negeri itu yang bertulis ‘Allah is great, Jesus is the son of Allah’ (Allah Maha Besar, Jesus anak Allah).

Menurut laporan The Malaysian Insider kain rentang itu dikesan di gereja Victory Lutheran Church, St John Britto Catholic Church, The Church of the Immaculate Conception serta Church of the Assumption di kawasan pulau manakala di Church of the Nativity of the Blessed Virgin Mary di Butterworth.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng melalui akaun media sosial Twitter rasminya semalam memberitahu gereja itu kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu serta membuat laporan polis.

“Saya bercakap dengan Ketua Polis Negeri Pulau Pinang dan beliau menyatakan akan menambah rondaan di kawasan gereja,” ujarnya di Twitter sambil menambah bahawa sepanduk ini jelas bertujuan menambahkan ketegangan antara penganut Kristian dan masyarakat Islam.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP menyifatkan negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat itu sedang diserang puak fanatik dan ekstremis dan menambah bahawa serangan mereka itu tidak akan berjaya. – Roketkini.com