Berita

Guan Eng tumpu keselamatan Pulau Pinang, enggan ulas Anwar tanding PRK Kajang

GEORGE TOWN, 28 JANUARI: Selaku Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng meletakkan fokus utamanya ke atas negeri itu berbanding pengumuman Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang.

Tambahan pula, Pulau Pinang kini dilihat menjadi medan pihak tidak bertanggungjawab mencetuskan api perkauman dan agama, seperti insiden serangan ‘molotov cocktail’ ke kawasan Gereja Assumption di Lebih Farquhar pagi semalam.

Ini berkelangsungan daripada insiden kain rentang bertulis ‘Jesus is the son of Allah’ yang digantung di luar tiga gereja di negeri itu tanpa pengetahuan pihak gereja dua hari lalu.

Memetik laman Free Malaysia Today, Setiausaha Agung DAP itu itu berkata, keutamaan adalah memastikan keadaan rakyat Pulau Pinang selamat.

“Lebih baik tanya beliau (Anwar) sendiri kerana saya tidak maklum dengan keadaan semasa di Selangor,” katanya seperti dipetik.

Cubaan mencetuskan ketegangan kaum di negeri itu dilihat bermula apabila ratusan ahli Umno berhimpun di Seberang Jaya 18 Januari lalu, dan membawa sepanduk mengancam pengulangan tragei 13 Mei 1969 jika isu ‘kangkung’ terus dibangkitkan.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang telah pun mencadangkan satu persidangan tergempar Parlimen diadakan pada waktu terdekat bagi menangani ‘serangan’ pihak-pihak terbabit.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, Lee Chin Cheh melepaskan jawatannya demi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding di situ, seperti yang diumumkan dalam sidang media Pakatan Rakyat pagi tadi. – Roketkini.com